PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN BAKTI SISWA QKK2101 KUMPULAN 7 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL

PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN BAKTI SISWA QKK2101 KUMPULAN 7

Satu program yang dinamakan program Kesedaran Kesihatan telah dilaksanakan selama tiga hari di platform media sosial iaitu Facebook live Bakti Siswa Kumpulan 7 dari jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. Program yang bertemakan “HEALTH BEFORE WEALTH” ini telah mendapat penyertaan seramai 1367 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga peserta daripada komuniti luar. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memupuk keperihatinan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar UPM dengan masyarakat luar khususnya kepada masyarakat dalam media sosial lantas memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental.

Program ini bermula pada 5 Jun 2021 iaitu pada hari sabtu, jam 8.30 pagi. Program ini dimulakan dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Aminuddin Hassan yang merupakan Pengetua Kolej Tun Dr Ismail UPM sambil disaksikan oleh tetamu-tetamu kehormat serta sidang penonton. Tayangan video slot aktiviti juga ditayangkan sewaktu majlis perasmian berlangsung. Video ini adalah gimik mengenai slot-slot aktiviti yang bakal diadakan sepanjang 3 hari program berlangsung.

Selepas berakhirnya majlis perasmian, program diteruskan dengan slot pertama iaitu Webinar 1: “Covid 19 - We Are All in This Together”. Slot ini diadakan dengan kerjasama Kolej Tun Dr Ismail dari Sekretariat Kerohanian, Kebajikan dan Keselamatan (3K), UPM. Panel jemputan bagi webinar 1 ialah Profesor Dr. Zamberi Bin Sekawi yang merupakan dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia. Sepanjang webinar ini berlangsung, panel jemputan mengulas dan memberikan pencerahan mengenai pandemik Covid-19 dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti vaksin, kadar kebolehjangkitan dan sebagainya. Sebelum berakhirnya webinar ini, telah diadakan sesi QNA dimana panel jemputan perlu menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh para penonton.

Selepas berakhirnya slot pertama ini, program ini diteruskan pula dengan slot kedua iaitu Webinar 2: “Cook with Me”. Panel jemputan bagi webinar 2 ialah saudara Mohamad Haziq Bin Raziman yang merupakan alumni dalam bidang kulinari daripada Management and Science University, kampus Kota Bharu. Sepanjang webinar ini berlangsung, panel jemputan mempersembahkan demo masakan dimana beliau menunjukkan proses pembuatan kek lobak merah. Pada masa yang sama, beliau juga memberikan dan berkongsikan tips-tips berkaitan masakan dan pengalaman beliau sepanjang menjadi seorang pelajar kulinari. Sebelum berakhirya webinar 2 ini, telah diadakan sesi QNA dimana panel jemputan perlu menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh para penonton. Program pada hari pertama tamat tepat pada pukul 5.00 petang.

Program Kesedaran Kesihatan diteruskan pula pada hari kedua iaitu pada 12 Jun 2021. Slot ketiga iaitu Webinar 3: “Let’s Exercise” bermula tepat pada jam 8.30 pagi. Webinar pada kali ini agak berlainan dimana webinar 3 terbahagi kepada dua sesi. Sesi pertama merupakan sesi senamrobik yang diketuai oleh dua orang panel jemputan. Panel-panel jemputan bagi sesi ini ialah saudara Muhammad Iddin Bin Ali Hanafiah dan saudari Izniza binti Ismail dimana kedua-duanya merupakan pelajar UPM daripada bacelor Pendidikan Jasmani. Kedua-dua panel menunjukkan demonstrasi senamrobik kepada para penonton selama sejam dan diakhiri dengan sesi QNA. Seterusnya, webinar 3 diteruskan dengan sesi kedua iaitu sesi Home Workout. Panel jemputan bagi sesi ini ialah saudara Ali Dzulfiqar Al Murtaza Bin Dzulkifli yang merupakan Personal Trainer for Fat Loss. Beliau memberikan sedikit penerangan mengenai Home Workout sebelum menunjukkan demonstrasi. Demonstrasi Home Workout berlangsung selama sejam dan sesi ini diakhiri dengan sesi QNA bersama para penonton. Slot kedua tamat tepat pada jam 12.00 tengah hari.

Selepas berakhirnya slot ketiga, program ini diteruskan pula dengan slot keempat iaitu Webinar 4: “How to Manage Stress”. Slot pada kali ini diadakan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Taman Segar, Kuala Lumpur. Terdapat dua orang panel jemputan bagi slot ini iaitu Dr. Muhammad Asyraf bin Che Amat selaku Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor & Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM serta Encik Mohammad Hazim bin Amir Nordin yang merupakan Kaunselor Berdaftar SK Taman Segar. Slot pada kali ini bukan sahaja dijalankan di platform Facebook Live Bakti Siswa Kumpulan 7, tetapi dijalankan juga di Youtube Live Cikgu Hazim. Slot pada kali ini membahaskan dan membincangkan mengenai cara penjagaan kesihatan mental khususnya kepada para pelajar. Panel-panel jemputan juga memberikan tips-tips penjagaan kesihatan mental dan cara-cara untuk menangani masalah kesihatan mental kepada para penonton. Sebelum slot berakhir, telah diadakan sesi QNA dimana panel-panel jemputan bersilih ganti menjawab soalan-soalan yang telah diajukan oleh sidang penonton. Program pada hari kedua berakhir tepat pada jam 5.00 petang.

Program Kesedaran Kesihatan diteruskan pada hari terakhir iaitu pada hari Sabtu, 19 Jun 2021. Slot kelima iaitu Webinar 5: “Eat Better, Not Less” bermula tepat pada jam 8.30 pagi. Panel jemputan bagi slot pada kali ini ialah Cik Jazeera Julaili yang merupakan Pegawai Dietetik Klinikal Hospital Medical Centre,Bayan Lepas, Penang. Sepanjang slot ini berlangsung, beliau memberikan pencerahan dan penerangan mengenai cara pengamalan diet yang betul. Selain itu, beliau berkongsikan juga mengenai kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh pengamal-pengamal diet. Beliau juga memberikan penjelasan mengenai makanan tambahan yang menjadi perbualan hangat dikalangan masyarakat. Sebelum berakhirnya slot ini, telah diadakan sesi QNA bersama sidang penonton. Webinar 5 telah berakhir tepat pada jam 11.00 pagi. Program diteruskan pula dengan majlis penutup. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Puan Musliyana Binti Mansor selaku Fasilitator Khas Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar, UPM sambil disaksikan oleh sidang penonton. Majlis penutup tamat pada jam 12.00 tengah hari.

Secara kesuluruhannya, program ini dapat dijalankan secara lancar dengan adanya usaha dan kerjasama daripada pemantau serta para pelajar. Penglibatan yang aktif oleh komuniti juga menyumbang kepada kejayaan program ini. Diharapkan bahawa objektif program ini dicapai dan komuniti akan lebih sedar dengan tahap kesihatan mental dan fizikal mereka.

Tarikh Input: 05/08/2021 | Kemaskini: 05/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdIAd~