MEMPERKASA KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAHASISWA MELALUI AKTIVITI KOKURIKULUM | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » MEMPERKASA KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAHASISWA MELALUI AKTIVITI KOKURIKULUM

MEMPERKASA KEMAHIRAN KOMUNIKASI MAHASISWA MELALUI AKTIVITI KOKURIKULUM

 

Setiap pelajar harus melengkapkan diri dengan penguasaan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis. – Foto hiasan

DILEMA yang dihadapi oleh pasaran kerjaya tempatan pada ketika ini ialah berlakunya masalah ketidaksepadanan pekerjaan, iaitu kemahiran yang dimiliki oleh graduan dilaporkan tidak selari dengan permintaan dan kehendak para majikan. Ini sekali gus mencetuskan masalah ketidakbolehpasaran graduan serta menyumbang kepada peningkatakan kadar penggangguran negara.

Pelbagai faktor mempengaruhi masalah ini dan antara yang signifikan ialah kelemahan graduan dalam aspek kemahiran berkomunikasi. Graduan kurang keyakinan dalam berkomunikasi menyebabkan mereka gagal memperolehi pekerjaan yang diharapkan. Ironinya, majikan memerlukan mereka yang mahir berkomunikasi untuk memastikan segala tugasan yang diberikan difahami dan mendapat maklum balas yang baik. Sekiranya graduan tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan lancar dan berkesan, sukar untuk majikan menawarkan peluang pekerjaan. Tambahan pula, ketika sesi temuduga kriteria tersebut merupakan faktor utama yang dilihat dan diambil kira oleh majikan sebelum menawarkan pekerjaan.

Antara kemahiran generik yang dipandang tinggi oleh majikan adalah kemahiran komunikasi yang berkesan. Tahap komunikasi ini diukur berdasarkan keupayaan seseorang itu menghuraikan hujah dengan penuh keyakinan serta memberikan buah fikiran yang mantap. Selain itu juga, tidak hanya satu bahasa yang diambil kira, malahan keupayaan untuk fasih berbahasa asing seperti bahasa Inggeris turut dititikberatkan. Gerak geri badan serta bait- bait perkataan yang dituturkan akan mempengaruhi orang yang menerima mesej yang ingin disampaikan. Interaksi yang diistilahkan sebagai secara lisan dan juga bukan lisan ini amatlah penting demi menjaga hubungan sesama rakan sekerja. Elemen yang wujud dalam komunikasi gerak tubuh ini merupakan salah satu pelengkap supaya informasi yang disampaikan itu tepat dan jelas. Bagi majikan kemahiran berkomunikasi adalah kualiti yang sangat penting dan berdasarkan pelbagai kajian dan pandangan didapati majikan kurang berpuas hati dengan cara para graduan mempersembahkan diri mereka dengan berkesan.

Justeru bakal graduan perlu memberi perhatian serius kepada isu ini jika mahu menembusi pasaran kerjaya dengan cepat. Dalam konteks ini, golongan mahasiswa terutamanya yang berada di tahun tiga dan empat pengajian perlu memanfatakan aktiviti kokurikulum sebagai medium untuk mengasah kemahiran insaniah yang turut mencakupi kemahiran berkomunikasi.

Hal ini penting kerana kebolehan dan kemampuan seseorang pekerja bukan hanya diukur daripada betapa tinggi atau cemerlangnya kelayakan akademik yang dimiliki. Dalam persaingan sengit dunia kerjaya amat mencabar kini, setiap pekerja harus melengkapi diri dengan penguasaan kemahiran yang relevan dan diperlukan bidang kerjaya diceburi.




Kemahiran komunikasi penting dalam membantu kerja berpasukan. – Foto hiasan

 

Lazimnya terlalu biasa kita mendengar mengenai sambutan dingin mahasiswa terhadap kegiatan kokurikulum di kolej atau universiti. Ada segelintir yang tidak mahu turut serta dengan pelbagai alasan. Antaranya faktor jadual akademik yang padat. Tidak kurang yang melihatnya sebagai membuang masa kerana mahasiswa perlu fokus terhadap pembelajaran terlebih dahulu sebelum aktiviti senggang.

Tanpa kemahiran itu, perbincangan mengenai suatu perkara kerja akan sukar mencapai kesepakatan secara profesional dan harmoni, malah berisiko mencetuskan percanggahan pendapat yang serius serta ketidakpuasan hati, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaan.

 Lebih memburukkan keadaan, kelemahan dalam komunikasi boleh menimbulkan konflik sama ada secara terang-terangan mahupun terpendam sehingga membawa kepada pertelingkahan atau permusuhan yang pasti memberi kesan negatif terhadap organisasi.

Kemahiran berkomunikasi ialah antara elemen utama dituntut dalam hampir kesemua jenis pekerjaan bagi mereka yang makan gaji mahupun bergelar bos perniagaan sendiri. Kemahiran itu cukup penting bagi memastikan kelancaran urusan kerja, sama ada dalam komunikasi sesama rakan sekerja mahupun dengan pihak luar, lebih-lebih lagi untuk meraih kepercayaan, keyakinan dan sambutan pelanggan.

 Namun satu hal yang mungkin kurang disedari, kejayaan seseorang mahasiswa itu tidak hanya diukur pada berapa jumlah deretan ‘A’ yang diperoleh. Sebaliknya, kejayaan individu juga dilihat daripada sikap dan pemikiran juga hati budi serta nilai insaniah dimilikinya. Malah, ramai di luar sana yang mampu meraih markah penuh setiap kali peperiksaan tetapi gagal berkomunikasi dengan baik atau membentuk kerjasama kumpulan.

 Justeru, setiap mahasiswa perlu menguasai kemahiran teknikal dan insaniah sebagai acuan membentuk dirinya menjadi manusia. Jangan sesekali mensia-siakan peluang menyertai aktiviti kokurikulum sebagai bekalan ampuh untuk menempuh cabaran dunai kerjaya kelak.

Oleh : Puan Zaliha Idris, Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) QKK2101 Bakti Siswa

Tarikh Input: 23/03/2023 | Kemaskini: 23/03/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDcSA2~