PERTANDINGAN MENIMBANG BOLA SECARA BERPASANGAN | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» ARTICLE » PERTANDINGAN MENIMBANG BOLA SECARA BERPASANGAN

PERTANDINGAN MENIMBANG BOLA SECARA BERPASANGAN

Oleh: Auni Ismail

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diaktifkan sejak Mac tahun lalu, ia tidak menghalang pelajar kursus kokurikulum berkredit bola sepak (QKS2101) kumpulan 1 untuk menjayakan satu program sukan pada musim Covid19 iaitu Program menimbang bola secara berpasangan anjuran Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar. Program ini dijalankan secara online melibatkan 80 orang peserta dari dalam dan luar negara. Penglibatan peserta dalam program ini dilihat positif dan mampu diteruskan lagi pada masa akan datang.

Pengarah QKS2101 kumpulan 1, Muhammad Asyraf Salhi berkata, penganjuran Program menimbang bola secara berpasangan tersebut adalah untuk memanfaatkan masa terluang masyarakat dengan aktiviti yang sihat dalam persekitaran norma baharu selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.

Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa walaupun kita sekarang masih dalam musim perintah kawalan pergerakan, namun aktiviti riadah masih boleh dijalankan. Ia juga dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Katanya, dalam pertandingan kali ini, sedikit kelainan ditunjukkan dengan mengetengahkan penyertaan berkumpulan atau duo di mana ianya akan menyaksikan setiap kumpulan beradu kemahiran menimbang bola sepak sesama mereka.

Menurutnya, program ini dijalankan selama 14 hari bermula 5 Jun sehingga 19 Jun 2021. Untuk menyertai program ini, peserta perlu mendaftarkan diri dan mengikut platform media sosial rasmi QKS2101. Setiap peserta perlu memuat naik video berdurasi tidak lebih 25 saat di Youtube.

 

Bagi pemenang yang terpilih, penganjur menawarkan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM150 bagi tempat pertama, RM100 bagi tempat kedua, RM50 bagi tempat ketiga manakala empat lagi pemenang akan menerima hadiah saguhati bernilai RM20 setiap seorang.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis penutup program adalah ucapan daripada pengarah QKS2101 kumpulan 1, ucapan perasmian daripada Ketua Pusat Sukan, Dr Hanafiah Ayub, pengumuman pemenang serta tayangan video peserta program menimbang bola secara berpasangan.

Gambar 1. Tayangan video para peserta.

“Pertandingan menimbang bola secara berpasangan merupakan satu program yang menarik dan mampu membawa impak positif kepada pelajar, masyarakat serta universiti. Saya percaya program sebegini boleh diperluas dan diadakan lagi pada masa akan datang,” kata Dr Hanafiah Ayub, Ketua Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia yang turut terlibat dalam majlis penutup program ini.

Gambar 2. Sesi bergambar bersama tetamu jemputan dan hadirin yang lain.

 

Disediakan oleh:

Nama: Nur Fatimah Auni binti Ismail

Tarikh: 25 Jun 2021

Date of Input: 08/08/2021 | Updated: 08/08/2021 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEbCAK~