PLATFORM SENI TEATER YANG TIADA HADNYA | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » PLATFORM SENI TEATER YANG TIADA HADNYA

PLATFORM SENI TEATER YANG TIADA HADNYA

Oleh: Syaziatul Alya binti Yusri

Siri webinar bertajuk “Reopening, Restarting and Resuming Live Performing Arts” dan “Producing & Creating New Works” telah membuka mata masyarakat bahawa untuk menghasilkan sebuah karya bukanlah sesuatu yang mudah. Program Theatre and Stage Drama: The Limitless Pavilion yang dianjurkan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKB2103 Teater dan Drama Pentas Kumpulan 1 Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama anjuran Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun dianjurkan atas talian dalam usaha untuk memutuskan rangkaian virus pandemik, Covid-19.

Puan Flora Ilyana Othman, Fasilitator Khas dari Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar UPM merangkap Pemantau & Perasmi Program, bersetuju dengan objektif program ini untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam diri pelajar serta memberi peluang kepada pelajar dan komuniti untuk menyerlahkan dan mengasah bakat dalam bidang lakonan. Menurut beliau, kesungguhan para pelajar kursus yang menjayakan program ini meskipun dijalankan secara dalam talian layak mendapat pujian lantaran faktor utama objektif program ini dicapai.

Gambar 1. Ucapan pengarah program dan tetamu kehormat sewaktu Majlis Perasmian.

“Ini adalah sebahagian usaha kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi sentiasa mempelajari ilmu baharu dan menambah pengetahuan mengenai penggiat yang terlibat dalam produksi sesebuah teater mahupun drama. Selain itu, pelajar dapat memperluas pengetahuan kemahiran dalam pengurusan acara atas talian.” katanya semasa upacara perasmian yang dipertontonkan secara langsung di platform Facebook Live dan mencapai sekitar 600 tontonan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program yang berlangsung selama dua hari itu ialah penerbitan video sketsa pendek lakonan semua pelajar QKB2103 Kumpulan 1 tentang kakitangan yang terlibat dalam produksi teater, pertandingan imitasi selebriti atau pelakon, serta pertandingan lipsync secara berseorangan atau duet terbuka kepada semua pelajar UPM menerusi aplikasi TikTok, serta siri webinar perkongsian melibatkan panel tempatan, Encik Abdul Walid Ali dari Luar Kotak Production dan antarabangsa dari United Kingdom, Encik Chris Grady (CGO Institute) dan Dr Kath Burlinson (RADA Business).

Gambar 2. Tayangan video persembahan pelajar.

 

Gambar 3. Siri Webinar.

“Program ini mampu memberi pendedahan dan mendidik para pelajar dan orang luar akan kepentingan sebuah pasukan dalam menghasilkan sebuah karya serta menerapkan semangat kerjasama tinggi dalam pelajar,” kata Encik Edmund Ross Williams Hunt, Fasilitator Kursus dan Kumpulan yang turut hadir semasa upacara perasmian.

Justeru itu, diharapkan program yang bermanfaat ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang demi kepentingan negara Malaysia.

Tarikh Input: 09/08/2021 | Kemaskini: 03/08/2022 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXETRAO~