PELAJAR KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT PERKASA PERTANIAN UNTUK RAKYAT | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR pkpp
» ARTIKEL » PELAJAR KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT PERKASA PERTANIAN UNTUK RAKYAT

PELAJAR KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT PERKASA PERTANIAN UNTUK RAKYAT

PELAJAR KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT PERKASA PERTANIAN UNTUK RAKYAT

 

Oleh: Encik Hazrie Minhat

 

 

Masyarakat hari ini menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup dan bekalan makanan berikutan ketidaktentuan ekonomi dan keselamatan global, justeru usaha memperkukuh keterjaminan makanan menjadi agenda penting negara.

Dalam konteks ini, pertanian bukan lagi sektor tradisional semata-mata, tetapi perlu diperkasa sebagai satu tindakan inklusif yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat.

Rentetan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan inisiatif “Pertanian untuk Rakyat” untuk menggalak, memberi daya serta membantu masyarakat untuk memulakan pertanian sebagai sumber keterjaminan makanan khususnya melalui penglibatan pelajar universiti.

Justeru, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM mengambil inisiatif memperkenalkan Skuad Putra (Pertanian untuk Rakyat) di bawah Pelan Keterjaminan Makanan UPM untuk menggerakkan agenda Pertanian Untuk Rakyat.

Skuad Putra adalah kumpulan pelajar dari kursus Kokurikulum Berkredit yang dilatih dari segi kemahiran teknikal, pengurusan projek dan khidmat komuniti untuk melaksanakan aktiviti pertanian yang memberi impak langsung kepada masyarakat.

Melalui Skuad Putra, komuniti diperkenalkan kepada asas pertanian seperti teknik penanaman, pengurusan tanaman, serta penggunaan teknologi moden termasuk hidroponik dan fertigasi.

Pendekatan “Dari Kampus ke Komuniti” itu membolehkan pelajar melaksanakan pemindahan ilmu secara interaktif yang berupaya menarik minat serta membolehkan komuniti mempelajari pelbagai teknik pertanian, sekali gus meningkatkan ilmu pertanian mereka.

Pelbagai program telah dianjurkan seperti kebun komuniti, pertanian bandar dan aktiviti khidmat masyarakat dilaksanakan bagi membantu komuniti dengan tumpuan diberikan kepada golongan B40 untuk mengusahakan tanaman sendiri.

Usaha ini turut membantu mengurangkan beban kos perbelanjaan makanan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengeluaran makanan secara kendiri.

Melalui bimbingan yang diberikan, komuniti berpeluang mempelajari konsep nilai tambah, penghasilan produk hiliran serta pemasaran hasil pertanian secara digital. Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan sampingan, malah mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti secara berterusan.

Secara tidak langsung, penglibatan pelajar dalam inisiatif ini menyumbang kepada pembangunan kemahiran insaniah mereka. Pelajar dilatih untuk berkomunikasi dengan komuniti, bekerja dalam pasukan, serta memimpin pelaksanaan sesuatu projek.

Pengalaman ini juga membentuk jati diri pelajar sebagai individu yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan masyarakat.

Penglibatan pelajar khususnya dari kursus Kokurikulum Berkredit dalam inisiatif “Pertanian untuk Rakyat” merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan kesejahteraan komuniti.

Selain itu, Peranan institusi pendidikan tinggi seperti Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM membuktikan bahawa pelajar mampu menjadi agen perubahan komuniti.

Dengan penglibatan berterusan dan sokongan pelbagai pihak, usaha ini berpotensi untuk diperluas dan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat serta negara.

Tarikh Input: 28/05/2026 | Kemaskini: 28/05/2026 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (05:00:03am-05:05:03am, 23 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]