KESAN MEDIA SOSIAL TERHADAP MASYARAKAT MASA KINI
Oleh: Farah Dayana Jamaluddin
Pada era globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat, media sosial menjadi medium komunikasi yang sangat berpengaruh dalam kehidupan masyarakat masa kini. Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, X dan YouTube bukan sahaja mengubah cara manusia berinteraksi, malah turut memberi kesan yang signifikan terhadap struktur sosial, budaya, ekonomi dan kesejahteraan psikologi masyarakat.
Media sosial telah memudahkan komunikasi antara individu dan kumpulan tanpa batasan geografi. Interaksi yang dahulunya memerlukan pertemuan fizikal kini boleh dilakukan secara maya dalam masa yang singkat.
Keadaan ini telah meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat serta memperkukuh jaringan sosial, khususnya dalam kalangan masyarakat moden dan organisasi.
Namun demikian, kebergantungan yang berlebihan terhadap komunikasi maya berpotensi mengurangkan kualiti interaksi seperti bahasa sekali gus menjejaskan kemahiran sosial masyarakat.
Media sosial turut membentuk nilai, sikap dan budaya masyarakat. Kandungan yang dikongsi secara meluas mampu mempengaruhi pemikiran serta tingkah termasuk gaya hidup dan bahasa.
Walau bagaimanapun, pendedahan yang berterusan terhadap budaya luar tanpa tapisan boleh menghakis nilai tradisi dan norma tempatan. Hal ini menuntut kesedaran masyarakat terutama ibu bapa agar lebih kritikal dalam menilai kandungan media sosial supaya tidak bercanggah dengan nilai moral dan budaya.
Selain itu, penggunaan media sosial yang tidak terkawal turut memberi implikasi terhadap kesihatan mental dan emosi. Fenomena FOMO (fear of missing out) misalnya, menambah tekanan untuk menonjolkan imej diri dan kehidupan yang sempurna.
Keadaan ini membuka ruang peribadi kepada komen negatif yang menyebabkan tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan. Golongan remaja dan belia merupakan antara kumpulan yang paling terkesan akibat pengaruh ini.
Sehubungan itu, keseimbangan dalam penggunaan media sosial amat penting bagi memastikan kesejahteraan mental masyarakat terus terpelihara. Pendidikan literasi digital perlu diperkasakan agar pengguna lebih beretika dan berhemah dalam penglibatan mereka di platform media sosial.
Penyertaan awam dalam isu-isu sosial, politik dan kemasyarakatan turut dilakukan melalui medium ini. Ia membolehkan masyarakat menyuarakan pendapat, berkongsi maklumat serta meluaskan kempen atau promosi dengan lebih meluas dan pantas. Dalam konteks ini, media sosial menjadi pemangkin kepada perubahan sosial.
Namun, kebebasan bersuara tanpa kawalan dan peraturan yang jelas membawa kepada provokasi dan penyampaian maklumat yang tidak tepat. Oleh itu, tanggungjawab moral dan undang-undang perlu dihayati oleh setiap pengguna bagi memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.
Salah satu cabaran utama media sosial ialah penyebaran maklumat palsu atau tidak sahih. Perkongsian maklumat tanpa semakan boleh menimbulkan kekeliruan, ketegangan serta konflik dalam masyarakat, selain isu keselamatan data dan privasi pengguna.
Masyarakat perlu berhati-hati dalam menilai kesahihan maklumat serta sedar terhadap kepentingan keselamatan digital supaya dapat mengelakkan penyalahgunaan media sosial.
Tuntasnya, media sosial menawarkan pelbagai manfaat dari segi komunikasi, penyebaran maklumat dan penyertaan sosial. Namun, kesan negatifnya tidak boleh dipandang ringan.
Oleh itu, penggunaan media sosial secara bijaksana, beretika dan seimbang amat penting bagi memastikan kemajuan teknologi ini menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
Tarikh Input: 17/07/2026 | Kemaskini: 17/07/2026 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan