PROGRAM G2K UPM-IKMA PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» ARTICLE » PROGRAM G2K UPM-IKMA PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN

PROGRAM G2K UPM-IKMA PERKASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Pensijilan (Graduan Ke Koperasi – G2K) sebagai usaha untuk memperkasa tahap kebolehpasaran graduan universiti selain memupuk minat dan kefahaman generasi muda terhadap gerakan koperasi di negara ini.

Program G2K di bawah pengurusan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM merupakan kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) membabitkan 30 pelajar dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM.

Program kerjasama strategik UPM-IKMa dianjurkan dengan matlamat untuk melahirkan modal insan produktif dan berilmu sekali gus menarik minat golongan muda (pelajar IPT) sebagai tenaga kerja dan pelapis kepada Gerakan Koperasi Malaysia.

Melalui program ini pelajar yang terpilih telah mengikuti kursus selama lima hari bermula 3 Disember 2022 hingga 22 Disember 2022 sebelum dianugerahkan dengan Sijil Pengurusan Koperasi.

Sepanjang program tersebut para peserta diberi pendedahan mengenai keusahawanan koperasi dan bagaimana konsep berkoperasi mampu mencipta peluang pekerjaan yang bersesuaian minat dan kemahiran mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus menzahirkan penghargaan kepada semua peserta program di atas kesungguhan serta komitmen sepanjang tempoh kursus dilaksanakan.

“Sesungguhnya suntikan golongan profesional muda diperlukan bagi memenuhi keperluan pembangunan profesionalisme dalam pengurusan gerakan koperasi yang menjadi agen perubahan dalam memperkasa pentadbiran dan perniagaan koperasi,” katanya dalam kenyataan.

Pelajar yang berjaya memperolehi Sijil Pengurusan Koperasi ini akan mengikuti satu lagi program pensijilan iaitu Sijil Pemasaran Digital sebagai persediaan sebelum menjalani latihan industri di koperasi-koperasi besar terpilih sekitar Lembah Klang.

Persediaan itu bagi mengaplikasikan ilmu dan kemahiran berkaitan pengurusan dan pentadbiran koperasi secara hands on.

Kumpulan pelajar terpilih ini bukan saja dapat menambah pelbagai kemahiran insaniah, tetapi turut berpeluang sama ada memperoleh peluang pekerjaan di koperasi yang terlibat mahupun mengorak langkah dengan menubuhkan koperasi sendiri yang boleh membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kerjasama strategik antara UPM dan IKMa seperti ini dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehpasaran graduan tempatan.

Date of Input: 25/12/2022 | Updated: 25/12/2022 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUVAn~