AIDILFITRI MENGIMBANGI TRADISI DAN LITERASI KEWANGAN MAHASISWA
Oleh:
Nur Farahanim binti Rusli
Pelajar Pelatih
Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar
Universiti Putra Malaysia
No. Tel: 010-827 9079
Gema takbir Aidilfitri yang berkumandang menandakan kemenangan setelah sebulan mengharungi madrasah Ramadan serta merupakan manifestasi pengukuhan ukhuwah dalam silaturahim masyarakat.
Namun, terselit satu realiti yang sering kali terlepas daripada radar perbincangan perdana iaitu cabaran pengurusan kewangan dalam kalangan mahasiswa. Aidilfitri juga merupakan ujian daya tahan ekonomi dan kebijaksanaan mahasiswa menguruskan sumber yang terbatas.
Majoriti mahasiswa hari ini bergerak di atas rantaian kewangan yang tipis, bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan seperti PTPTN, biasiswa, mahupun bantuan daripada keluarga.
Tanpa literasi kewangan yang ampuh, kegembiraan menyambut Syawal boleh bertukar menjadi 'trauma kewangan' yang menghimpit kehidupan mereka di kampus selepas cuti berakhir.
Dalam era digital yang serba pantas, cabaran utama mahasiswa bukan hanya kenaikan harga barang, tetapi serangan psikologi melalui media sosial. Budaya Fear of Missing Out (FOMO) atau ketakutan akan ketinggalan zaman yang mencengkam jiwa anak muda.
Ada mahasiswa yang terperangkap dalam budaya konsumerisme dan FOMO, kesan terpengaruh dengan aktiviti pemasaran yang agresif dan algoritma media sosial yang memaparkan iklan secara bertubi-tubi menjebak mahasiswa dalam kancah perbelanjaan impulsif.
Dari sudut kewangan mikro pelajar, mahasiswa sering kali terperangkap dalam 'inflasi gaya hidup'. Keinginan untuk menyamai taraf sambutan rakan sebaya menyebabkan mereka gagal membezakan antara keperluan (needs) dan kehendak (wants).
Dalam konteks ekonomi pelajar, setiap ringgit mempunyai nilai utiliti yang sangat tinggi. Kegagalan menguruskan aliran tunai bermakna mereka terpaksa mencatu makanan serta termasuk dalam kitaran 'miskin pasca-Raya'.
Kepentingan Literasi Kewangan Berterusan
Menyentuh aspek ini, pandangan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri, amat relevan untuk dijadikan sandaran.
Beliau menegaskan bahawa literasi kewangan tidak seharusnya kekal sebagai teori di dalam dewan kuliah semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui amalan pengurusan yang sistematik dan berterusan.
Literasi ini merangkumi tiga elemen utama iaitu perancangan, pemantauan, dan penilaian semula.
Mahasiswa perlu mempunyai 'kecerdasan kewangan' untuk menolak godaan berbelanja melebihi kemampuan. Penyediaan bajet yang terperinci serta amalan menabung secara konsisten sebelum musim perayaan mampu menjadi penampan (buffer) terhadap sebarang perbelanjaan luar jangka.
Dengan adanya perancangan yang rapi, mahasiswa dapat memastikan bahawa sambutan Hari Raya tidak akan menjadi punca kepada kemelut hutang atau masalah kewangan yang lebih kompleks pada masa hadapan.
Membina Tabiat Positif untuk Masa Depan
Memantau keupayaan serta mengawal nafsu berbelanja adalah indikator kematangan seseorang individu. Pengurusan kewangan yang berhemah bukan sahaja tentang angka di atas kertas, tetapi tentang pembentukan disiplin diri dan integriti peribadi.
Kita tidak mahu melihat generasi intelektual kita kecundang dalam kancah hutang seawal usia 20-an hanya kerana kegagalan menguruskan emosi semasa musim perayaan.
Jadi, Institusi pengajian tinggi dan badan-badan berkaitan juga boleh memainkan peranan aktif dalam menyuntik kesedaran ini. Kempen kesedaran kewangan menjelang musim perayaan perlu dipergiat bagi mengingatkan mahasiswa tentang risiko pembaziran.
Tuntasnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Pelajar yang memiliki literasi kewangan yang tinggi akan mampu mengimbangi antara tuntutan tradisi dengan realiti kemampuan ekonomi mereka.
Marilah kita jadikan Aidilfitri kali ini sebagai titik tolak untuk membina tabiat pengurusan kewangan yang lebih mampan. Biarlah baju yang dipakai itu sederhana, asalkan akaun bank dan masa depan akademik kekal terjaga.
Dengan pendekatan yang lebih matang, mahasiswa bukan sahaja dapat meraih pahala ibadah, malah berjaya membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang celik wang dan bijak mengemudi masa depan.
Tarikh Input: 30/03/2026 | Kemaskini: 30/03/2026 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan