Aktiviti Sukarelawan Bentuk Belia Berkualiti | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Aktiviti sukarelawan bentuk belia berkualiti

Aktiviti sukarelawan bentuk belia berkualiti

TANGGAL 5 Disember setiap tahun adalah Hari Sukarelawan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun, tarikh ini tidak mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pertubuhan sukarelawan di negara kita masih kurang mendapat perhatian dan disifatkan sebagai hidup segan mati tak mahu. Sedangkan ia berperanan besar, terutama untuk golongan belia. Melaluinya, mereka dapat menyalurkan idea dan tenaga dalam membantu masyarakat.

Sukarela ialah gabungan dua perkataan, iaitu suka dan rela. Gabungan dua perkataan itu membawa maksud rela untuk berbakti. Individu yang menyertai aktiviti kesukarelawan mempunyai sifat murni kerana sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, dapat dilihat pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan sukarelawan turut membantu menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.

Malah, ada juga sukarelawan yang bergabung tenaga menghasilkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Walaupun sukarelawan berhadapan banyak cabaran ketika menyalurkan bantuan dan juga terdedah kepada risiko jangkitan wabak COVID-19, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk membantu.

Contoh dan nilai murni yang disemai dalam khidmat suka rela begini membentuk peribadi dan ketrampilan individu. Malah, ia peluang untuk belia mempelajari kemahiran dan pengetahuan baharu. Antaranya, semangat kerjasama sesama ahli pasukan, cara berkomunikasi dengan masyarakat setempat dan kemahiran memimpin pasukan untuk menjayakan misi yang dijalankan.

Selain itu, aktiviti kesukarelawanan dapat mengelakkan belia terbabit dengan kegiatan tidak bermoral seperti lumba haram, penyalahgunaan dadah dan banyak lagi gejala negatif.

Belia adalah golongan yang akan mewarisi tampuk kepemimpinan pada masa akan datang. Oleh itu, wajarlah mereka terbabit dengan aktiviti yang membentuk keperibadian yang baik. Bak kata pepatah, jika kita ingin melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada masa ini. Jika generasi muda berakhlak dan berhemah tinggi, maka sebuah negara akan aman dan makmur.

Pembabitan dalam aktiviti begini juga membantu dalam mengasah bakat kepemimpinan dalam diri, sekali gus meningkatkan keyakinan apabila berdepan khalayak ramai. Kebolehan untuk memimpin sesebuah organisasi dan membentuk jati diri yang baik amat penting dalam melahirkan belia berkualiti.

Aktiviti kesukarelawanan bukan hanya terhad di Malaysia sahaja, namun pertubuhan sukarelawan yang terkenal juga memberikan bantuan kepada negara luar seperti Mercy Malaysia yang membantu mangsa tsunami Acheh di Indonesia. Negara memerlukan golongan belia untuk meneruskan usaha begini kerana usaha menjaga dan membantu orang ramai perlu diteruskan.

Nursyazwani Awang, Perak- Berita harian

 

Tarikh Input: 27/06/2023 | Kemaskini: 27/06/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEcFA1~