Perlu Penghayatan Ihsan | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Perlu penghayatan ihsan

Perlu penghayatan ihsan

Ketika membentangkan konsep Malaysia Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan enam rukun utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Enam rukun ini diangkat sebagai tiang seri yang bakal mendukung wadah Malaysia Madani. Dalam konteks ini, ihsan dilihat antara rukun yang boleh menjadi tonggak paling signifikan dalam menyumbang kepada pembentukan masyarakat Madani.

Ia dikatakan demikian kerana maksud ihsan itu dilihat sangat meluas dan menyeluruh sekali gus mencakupi segala aspek yang diperlukan untuk membantu proses pembentukan dan pembinaan sebuah masyarakat Madani yang diidamkan. Ihsan dalam konteks Malaysia Madani ditafsirkan cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan, iaitu mengasihi orang lain merangkumi ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan termasuk golongan minoriti. Perasaan ihsan digambarkan mewakili soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.

Ringkasnya, ihsan akan menjadikan kita sebagai manusia yang tidak mementingkan diri sendiri, tidak tamak, tahu menghormati hak orang lain dan saling ambil peduli masalah yang membelenggu anggota masyarakat walaupun kita berbeza agama, kaum dan budaya.

Ironinya, sifat ihsan ini sangat penting dalam kehidupan seharian setiap individu baik dalam soal menguruskan hal keluarga, kerjaya mahupun perhubungan dengan orang lain. Jika setiap seorang daripada kita sanggup menghayati, membudayakan dan mengamalkan sifat ihsan dalam setiap urusan, segala masalah yang menimpa anggota masyarakat dapat ditangani secara bersama dengan baik.

Misalnya dalam soal masalah institusi keluarga seperti pergaduhan dan perceraian dalam rumahtangga serta pengabaian dan penderaan anak-anak yang semakin membimbangkan. Jika suami dan isteri dapat menghayati sifat ihsan dan saling sayang menyayangi serta percaya dan yakin di antara satu sama lain, kita dapat mengurangkan kadar perceraian di negara ini di samping anak-anak juga tidak akan terbiar tanpa kasih sayang yang secukupnya.

Pada masa sama, ciri-ciri ihsan seperti sikap prihatin, tanggungjawab dan ambil peduli ibu bapa pula dapat melindungi keselamatan anak-anak sekali gus dapat menangani masalah penderaan selain boleh bantu lindungi anak-anak daripada terjerumus ke pelbagai masalah sosial yang sedang melanda golongan remaja pada ketika ini. Harus diingat, impian membentuk masyarakat Madani hanya boleh dicapai jika kita boleh membentuk keluarga Madani terlebih dahulu. Ringkasnya, sifat ihsan dalam kalangan ibu bapa serta ahli keluarga yang lain dapat menyumbang kepada proses pembentukan keluarga Madani.

Begitu juga halnya dengan masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang sedang berleluasa dalam masyarakat kita. Ingat, masalah defisit integriti dan kejujuran pasti akan menjadi penghalang terbesar pembentukan masyarakat Madani. Sikap segelintir anggota masyarakat yang mementingkan diri serta mahu cepat kaya menyebabkan mereka sanggup menganiaya hak dan kepentingan orang lain.

Misalnya, kemunculan 'buaya ekonomi' yang membolot dana awam dengan begitu licik menyebabkan bantuan yang disediakan kepada golongan sasaran tidak dapat disalurkan seperti yang dirancang. Ternyata mereka ini langsung tidak ada elemen mengasihi dan mengambil peduli masalah dan kemelaratan orang lain. Jika keadaan ini berlarutan dana awam akan terus dibolot dan disalahguna oleh pelbagai pihak sehingga menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan orang lain.

Jadi penerapan dan pemupukan sifat ihsan dalam sanubari anggota masyarakat perlu dijadikan formula penting dalam mendidik orang ramai menjadi manusia yang berintegriti tinggi sekali gus membantu membentuk sebuah masyarakat Madani.

Selain itu, kita juga perlu sedar pembentukan masyarakat Madani itu perlu membabitkan seluruh anggota masyarakat, justeru semua lapisan anggota masyarakat perlu mendapat hak dan peluang yang sewajaranya secara adil dan saksama, yakni tidak boleh ada mana-mana kumpulan terutamanya kelompok minoriti tertinggal atau sengaja diabaikan walau dengan apa alasan sekalipun.

Hakikatnya hari ini masih ramai anggota masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan terutamanya di kawasan pedalaman. Antara masalah utama mereka ialah tiada punca pendapatan tetap selain kekurangan pelbagai infrastruktur untuk kelangsungan hidup. Jelas sekali mereka ini memerlukan pembelaan sewajarnya dan turut berhak menikmati segala kemajuan negara.

Justeru melalui sifat ihsan seperti mengambil peduli keadaan orang lain serta tidak mengabaikan golongan minoriti kita yakin boleh mengangkat kedudukan dan martabat semua golongan ini agar sama-sama menikmati kehidupan lebih baik. Tuntasnya, dengan sifat ihsan kita dapat menidakkan sebarang bentuk penafian hak dan pengabaian terhadap golongan minoriti.

Malah melalui ihsan juga kita boleh menerapkan budaya menjaga tepi kain orang demi kebaikan bersama. Anggota masyarakat perlu lebih cakna dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di sekeliling. Budaya pejam mata dan tutup telinga perlu dibuang jauh-jauh jika mahu melihat semua individu mendapat layanan sewajarnya.

Tuntasnya, sifat ihsan mencerminkan ciri-ciri keperibadian mulia yang wajar dimiliki oleh setiap anggota masyarakat supaya kita dapat meneruskan kehidupan dalam suasana dan persekitaran yang selamat, harmoni dan sejahtera. Justeru perlu dipergiatkan kempen kesedaran agar rakyat memahami setiap sifat ihsan sekali gus pada akhirnya boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara Madani yang dihasratkan.

Tarikh Input: 30/09/2023 | Kemaskini: 30/09/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEbUAL~