BOLA TAMPAR DUDUK: SUKAN UNTUK SEMUA | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » BOLA TAMPAR DUDUK: SUKAN UNTUK SEMUA

BOLA TAMPAR DUDUK: SUKAN UNTUK SEMUA

Oleh: Natasha Low Pei Ning

Bola Tampar kini semakin mendapat tempat di hati kalangan belia. Hal ini terbukti dengan sambutan meriah daripada para pelajar dan peserta yang berkunjung ke siaran langsung di Facebook “QKS2120 GROUP 1” bagi program Webinar Bola Tampar Duduk yang dianjurkan oleh pelajar kursus KKB QKS 2120 Bola Tampar Kumpulan 1 dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar.

Dr. Hanafiah bin Ayub, pengarah pusat sukan Universiti Putra Malaysia berkata, “Program Webinar Bola Tampar Duduk  KKB QKS2120 telah diadakan bertujuan untuk memperkenalkan dan mendedahkan sukan bola tampar duduk kepada warga UPM dan komuniti dengan menerangkan latar belakangnya, peraturan dan undang-undang permainan serta sesi perkongsian para pemain wakil negara bola tampar duduk,”. Menurut Encik Rozzamri Bin Ashari, fasilitator Kursus QKS2120 Bola Tampar Kumpulan 1, program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar UPM untuk menyertai kursus bola tampar sebagai aktiviti kokurikulum dan juga mempelajari asas bola tampar duduk. Program ini telah memperkenalkan bola tampar duduk secara ringkas sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan dalam acara Paralimpik kepada para pelajar beserta teknik-teknik bola tampar yang telah dipelajari dalam kursus kokurikulum. Melalui program yang diadakan, pelajar dapat didedahkan kepada keunikkan sukan bola tampar duduk.

 Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan kewujudan sukan bola tampar duduk yang sering dimainkan oleh orang kurang upaya kepada komuniti serta membudayakan sukan ini di peringkat universiti. Selain itu, program ini juga menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UPM dan komuniti serta berkongsi ilmu tentang pengetahuan asas dan teknik berkaitan dengan permainan bola tampar duduk sejajar dengan objektif keempat Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM dan matlamat pertama UPM iaitu menggalakkan pelajar berdikari dalam memperolehi kemahiran dan pengetahuan baharu serta mempertingkatkan kualiti dan daya saing graduan. Melalui program ini juga, para pelajar dan warga komuniti dapat mendengar pengalaman yang dikongsi oleh panel jemputan yang terdiri daripada En. Ahmad Mustakim, bekas jurulatih skuad bola tampar duduk Malaysia, En. Harman, ketua pasukan bola tampar duduk Malaysia dan juga En. Fendy Ahmad, pembantu ketua pasukan bola tampar duduk Malaysia. Selain itu panel jemputan turut berkongsi kata-kata semangat dengan menyatakan bahawa usaha merupakan tangga kejayaan walaupun banyak cabaran dan kesusahan ditempuhi terutamanya dengan hadirnya kekurangan dalam diri.  

“Sehubungan dengan itu, Program Webinar Bola Tampar Duduk ini telah berjaya memupuk minat warga UPM dan komuniti untuk mengenali bola tampar duduk sebagai sukan rehabilitasi dan sekaligus meningkatkan ilmu pengetahuan tentang sukan tersebut,” kata Pengarah Pusat Sukan UPM sewaktu majlis merasmikan majlis penutupan program Facebook Live QKS2120-1 UPM yang dihadiri oleh kira-kira 82 orang.

“Penganjuran program Webinar Bola Tampar Duduk adalah satu pelaksanaan program yang memberikan impak dan menjadi platform kepada pelajar dalam melaksanakan implikasi pembelajaran di dalam keadaan situasi pandemik COVID-19. Program ini juga mampu memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kelas ini dan secara tidak langsung memberikan manfaat kepada pihak komuniti luar,” kata Encik Rozzamri Bin Ashari semasa sesi perkongsian Program Webinar Bola Tampar Duduk. Beliau berkata, program ini dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran mengurus dan kemahiran memimpin bagi melahirkan graduan yang bersahsiah tinggi. Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi dapat menerapkan nilai-nilai seperti bertoleransi, pemikiran kreatif dan bertanggungjawab dalam menguruskan sebuah program. “Dengan adanya program seumpama ini, pengalaman dan pendedahan dapat diberikan kepada pelajar untuk merancang, melaksanakan dan menguruskan sesuatu program di bawah kendalian pelajar sendiri”. Di samping itu, program ini menjadi suatu platform yang berharga bagi pelajar mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari dan meningkatkan pengetahuan mengenai bola tampar duduk sejurusnya menghargai keistimewaannya sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di kejohanan paralimpik antarabangsa. 

Selain melancarkan program bola tampar duduk, pihak penganjur turut menganjurkan pertandingan yang bertemakan bola tampar duduk pada 19 Jun 2021 menggunakan Quizizz. Pertandingan dibuka dari jam 9 pagi 19 Jun 2021 sehingga 12 malam 20 Jun 2021. Ganjaran wang tunai telah diberikan kepada 5 peserta yang berjaya menjawab dengan tepat dan pantas. Johan telah menerima wang tunai berjumlah RM50 manakala naib johan RM 30 bagi dan RM25 bagi tempat ketiga. Saguhati sebanyak RM20 diberikan kepada pemenang tempat keempat dan kelima. Pemenang kuiz infografik turut diumumkan sewaktu majlis penutup Kuiz Infografik dan Webinar Bola Tampar Duduk yang berlangsung pada 26 Jun 2021. Penyertaan oleh seramai 96 peserta menunjukkan bahawa pertandingan ini telah berjaya menarik minat orang awam dan para pelajar terhadap sukan bola tampar duduk. 

Gambar 1. Sesi perasmian program.

 

Gambar 2. Sesi perkongsian bersama tetamu jemputan.

 

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mempromosikan bola tampar duduk di samping memberi pengalaman kepada pelajar QKS2120 dalam menganjurkan dan menguruskan sesuatu program. Inisiatif Pusat Pembangunan Pelajar dan Kokurikulum UPM dalam memperkasakan kokurikulum dilihat sangat positif dalam pembangunan sahsiah pelajar dan perlu diteruskan pada masa hadapan. 

 

Disediakan oleh :

NAMA: NATASHA LOW PEI NING

TARIKH: 30 JUN 2021 

Tarikh Input: 08/08/2021 | Kemaskini: 08/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEYHA4~