Caklempong Gaya Malaysia | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Caklempong gaya Malaysia

Caklempong gaya Malaysia

KENYATAAN bahawa seni muzik tradisional caklempong 'dipinjam' dari tanah seberang, Sumatera Barat, Indonesia, adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

Namun, selepas ia tersebar dipercayai pada abad ke-14 terutama di Negeri Sembilan, ia mencetuskan proses asimilasi budaya apabila munculnya caklempong versi Malaysia.

Tokoh caklempong, Rahbeni Mutaal Hadi, berkata seni muzik di Nusantara itu, mempunyai dua versi iaitu didahului dengan caklempong Minangkabau dan disusuli Malaysia dengan masing-masing dilengkapi teknik, gaya permainan dan lagu tersendiri.

"Kesenian caklempong sememangnya berasal dari masyarakat Minangkabau di Indonesia dan ia dibawa oleh penggiat muzik asal berkenaan yang berhijrah ke Negeri Sembilan, lalu disesuaikan mengikut cita rasa masyarakat setempat.

"Seni caklempong Sumatera Barat sifatnya lebih agresif terutama cara permainan dan tingkahan, manakala di Malaysia ia lebih teratur dan tertib kerana mengambil kira ensembel yang lebih ramai serta memberi peluang kepada pemuzik yang baharu berjinak-jinak untuk mempelajarinya.

"Bagaimanapun, apabila pertukaran bentuk lagu dalam persembahan caklempong berlaku, akan kedengaran dengan sendirinya irama yang menyerupai caklempong Minangkabau," katanya pada sesi perkongsian dalam acara Gema Seni Tradisional: Garitik Gereteh yang berlangsung di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur.

Istilah garitik gereteh

Tambahnya, istilah 'garitik gereteh' yang diangkat dalam dialog seni berkenaan mewakili ungkapan keindahan bermain caklempong yang sangat mementingkan kebijaksanaan seseorang menggaritik sehingga menjadikan ia tersendiri.

"Istilah garitik bermaksud teknik bermain dengan menggunakan 'Nada Hiasan' yang mencorak ritma dengan olahan kinestetik kedua-dua belah tangan.

"Gereteh pula adalah alat dalam ensembel caklempong yang penting dalam menampilkan paten ritma interlocking system.

"Lebih tepat, garitik gereteh adalah ungkapan dalam menggambarkan satu kesinambungan bunyi yang mengalir daripada dalam tubuh pencinta caklempong terhadap seni tradisional berkenaan," katanya.

Beliau turut memberitahu, identiti paling menonjol pada caklempong Malaysia adalah penggunaan alat muzik akordian, kesan tinggalan kolonial Barat dengan Sumatera Barat pula menggunakan alatan dipanggil bangsi.

Sementara itu, penggiat seni caklempong, Yuzaimuddin Md Yusof, yang berkecimpung lebih 38 tahun dalam persembahan muzik berkenaan berkata, beliau melihat seni tradisional itu mempunyai ciri unik dan tersendiri sekali gus memerlukan lonjakan untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.

"Saya tidak nampak apa kekurangan caklempong, bahkan ia mempunyai banyak persamaan dengan piano atau sita dan tabla yang dikenali di seluruh dunia.

"Persoalannya mengapa sukar untuk menaikkan prestij caklempong, sedangkan ketika saya membuat persembahan di Eropah, Jepun dan Asia Barat, masyarakat di sana kagum serta memberikan sambutan cukup hebat dan menunjukkan minat untuk mengenalinya lebih mendalam.

"Oleh itu, saya sendiri memulakan langkah dengan bertindak mengajar pelapis muda terutama pelajar sekolah rendah di sekitar Negeri Sembilan untuk berjinakjinak dalam dunia muzik caklempong, kerana memikirkan nasibnya jika tiada pewaris pada masa akan datang," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat terutama penggiat seni muda supaya tidak semberono dalam persembahan muzik tradisional termasuk caklempong, dengan memasukkan unsur moden sehingga hilang ciri asal yang sepatutnya dipelihara.

Suntik elemen moden jangan hilangkan keaslian

"Saya tidak anti kepada perubahan, malah mengalu-alukan sekiranya ada penggiat seni muda yang ingin menyuntik elemen moden dalam muzik caklempong.

"Bagaimanapun, jangan lupakan asas penting dalam permainannya kerana ia adalah akar yang menentukan hala tuju muzik berkenaan.

"Saya sendiri pada tahun 2006 dalam persembahan di Taman Budaya, Negeri Sembilan melakukan pembaharuan dengan menggarap gabungan caklempong dalam irama jazz, tetapi mengikut kesesuaian dan tidak mencacatkan gaya asal," katanya.

Tarikh Input: 27/06/2023 | Kemaskini: 27/06/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEcIAA~