HIBURAN DIGITAL TARIKAN GENERASI MUDA | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » HIBURAN DIGITAL TARIKAN GENERASI MUDA

HIBURAN DIGITAL TARIKAN GENERASI MUDA

HIBURAN DIGITAL TARIKAN GENERASI MUDA

 

Oleh: Athirah Hanum Johari

 

 

 

Seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital, landskap hiburan dunia kini mengalami transformasi yang signifikan. Dahulu, televisyen merupakan medium utama bagi setiap isi rumah. Kini, telah beralih arah kepada peranti mudah alih.

 

Contohnya, drama pendek dalam aplikasi TikTok semakin mendapat tempat dan menjadi pilihan utama dalam kalangan generasi muda dan pelajar.

 

Dari sudut pandangan pengguna, beberapa faktor menjadi tarikan utama yang membezakan TikTok dengan televisyen tradisional. Pertama, fleksibiliti, iaitu drama pendek ini boleh ditonton pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu terikat dengan jadual siaran.

 

Kedua, penggunaan bahasa yang santai serta jalan cerita yang dekat dengan realiti kehidupan yang sesuai dengan remaja menjadikan kandungan tersebut lebih mudah difahami dan ’kena’ dengan jiwa penonton masa kini.

 

Ketiga, keistimewaan drama pendek ini terletak pada durasinya yang sangat singkat, iaitu antara satu hingga tiga minit bagi setiap episod.

 

Walaupun ringkas, garapan ceritanya tetap padat dan tidak meleret, merangkumi pelbagai genre popular seperti percintaan, kekeluargaan, komedi, serta konflik kehidupan seharian.

 

Gaya penyampaian yang pantas ini sangat sesuai dengan cita rasa golongan muda yang mempunyai masa terhad namun tetap mahukan hiburan yang berkualiti dan dinamik.

 

Fenomena ini memberi impak besar kepada industri kreatif tempatan. Media sosial seperti TikTok kini berfungsi sebagai platform alternatif untuk berkarya dan medan strategik bagi pencarian bakat baharu dalam bidang lakonan, penulisan skrip, serta pengarahan.

 

Malah, ramai belia mula mengambil peluang ini untuk menonjolkan kreativiti mereka bagi membina nama dan jenama peribadi dalam dunia seni sebelum melangkah ke peringkat yang lebih profesional.

 

Walaupun televisyen konvensional masih mempunyai kelompok penonton setianya, peralihan minat ke arah platform digital akan terus berkembang. Landskap hiburan akan lebih didominasi kandungan yang ringkas, fleksibel, dan mudah diakses, selari dengan tuntutan gaya hidup moden yang serba pantas.

 

Evolusi daripada skrin televisyen ke skrin telefon pintar ini membuktikan bahawa cara masyarakat menikmati karya seni telah berubah secara drastik mengikut peredaran zaman.

Tarikh Input: 21/01/2026 | Kemaskini: 05/03/2026 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (03:18:36am-03:23:36am, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]