PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT LAHIR MAHASISWA HOLISTIK | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT LAHIR MAHASISWA HOLISTIK

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT LAHIR MAHASISWA HOLISTIK

Pengalaman yang diperolehi sepanjang berada di alam kampus adalah satu cabang ilmu tanpa batasan yang akan terus bersama-sama dengan graduan sepanjang kehidupan mereka. Melalui kursus kokurikulum berkredit, antara nilai kemahiran insaniah yang diterapkan adalah pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning. Ini amat selari dengan hala tuju komponen kebudayaan kerana terminologi budaya atau kebudayaan itu sendiri berkait rapat dengan cara hidup, tamadun, peradaban, kemajuan fikiran dan akal budi. Elemen pembelajaran sepanjang hayat dapat membantu individu merencana dengan baik bagi mencapai kejayaan jangka panjang, kerana kehidupan merupakan satu perjalanan yang panjang dengan pelbagai cabaran. Apabila mahasiswa dapat memahami kepentingan bahawa ilmu yang diperoleh amat berharga dan ilmu yang dipraktikkan itu akan menjadi semakin baik dari masa ke semasa, mereka dapat bersedia dengan lebih baik dalam menghadapi kehidupan dan memanfaatkan ilmu yang diterokai tidak hanya di dalam kampus tetapi juga melalui persekitaran serta pergaulan dengan masyarakat.

 

Pada persepsi kebanyakan orang, kebiasaanya melalui komponen kebudayaan, mahasiswa tidak mendapat banyak pendedahan ilmu melainkan hiburan. Bagaimanapun, tanggapan itu amatlah tidak tepat, kerana melalui komponen kebudayaan, program tidak terhad kepada persembahan kebudayaan semata-mata. Sepanjang tempoh pembelajaran di dalam kampus, mahasiswa akan diberikan pendedahan dalam persediaan kertas cadangan, pengendalian mesyuarat, berurusan dengan pelbagai organisasi atau agensi, pengurusan kewangan, penganjuran program, pengendalian persembahan dan juga pelaporan. Sama ada melalui penganjuran pertandingan Gordang Sembilan, kompang, caklempong, bengkel teater, konsert nyanyian, demonstrasi seni tari, persembahan lisan tradisional, matlamat utamanya adalah untuk pembangunan modal insan dan pemantapan jati diri. Hasil daripada penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, ia telah terbukti dapat meningkatkan keyakinan mahasiswa yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang dalam pelbagai bidang termasuklah pengurusan, pentadbiran, mesyuarat, rundingan, kewangan, sosial, politik dan sebagainya.

 

Konsep pembelajaran sepanjang hayat ini amat selari dengan norma kehidupan azali dan kewujudan manusia itu sendiri. Melalui kehidupan seharian juga, kita akan sentiasa mempelajari atau menemui ilmu-ilmu baharu secara langsung atau tidak langsung. Adakalanya proses pembelajaran berlaku dalam penglibatan dalam masyarakat, perbualan santai harian, pemerhatian persekitaran dan perkongsian dengan khalayak. Bagi individu yang mempunyai keupayaan untuk mengenalpasti peluang menuntut ilmu, setiap saat ini tidak akan disia-siakan. Ini kerana, setiap ruang dapat membuka peluang baharu bagi meningkatkan keupayaan diri.

 

Kendatipun hasil perjalanan membudayakan ilmu tidak dapat dilihat secara mendadak, tetapi kesan jangka panjangnya dalam memperkasakan jati diri dan personaliti adalah amat ketara. Ini dapat dibuktikan melalui perkembangan dalam bersosial secara sihat, berkomunikasi dengan baik, bertimbangrasa dan bertoleransi.

 

Apabila mahasiswa menguasai dan memahami bahawa ilmu yang diperolehi secara formal dan tidak formal adalah amat berguna dalam kehidupan sekarang dan pada masa hadapan, mereka pasti akan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan bagi memperbaiki diri sendiri dan memperbaharui kemahiran sedia ada. Sikap ini dapat meletakkan diri mereka sentiasa ke hadapan kerana secara tidak langsung, mereka akan lebih berdaya saing dan sentiasa bermotivasi ke arah lebih dinamik. Ini bukan sahaja dapat menghasilkan individu yang cemerlang, malah bangsa serta negara yang gemilang serta holistik.

oleh : 

Puan Flora Ilyana Othman
Fasilitator Khas
Kursus Kokurikulum Berkredit

Tarikh Input: 01/03/2023 | Kemaskini: 01/03/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXESLA7~