PROGRAM DI IPT PERLU DIROMBAK LAHIR GRADUAN 'PINTAR DAN TAJAM' | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » PROGRAM DI IPT PERLU DIROMBAK LAHIR GRADUAN 'PINTAR DAN TAJAM'

PROGRAM DI IPT PERLU DIROMBAK LAHIR GRADUAN 'PINTAR DAN TAJAM'

Azam kesembilan dikemukakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini adalah berhubung dengan kualiti dan kecemerlangan akademik.

Melalui azam ini, dalam konteks kecemerlangan pelajar ditekankan keperluan mengajar untuk menjadikan pelajar smart and sharp atau 'pintar dan tajam' termasuk smart dan sharp skills atau 'pintar dan tajam kemahiran', bukan lagi soft dan hard skills' atau 'berkemahiran tetap kaku'.

Amanat ini bermaksud institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melengkapkan pelajar dengan kepintaran mengurus manusia dan kebijaksanaan mengurus teknologi yang bukan sekadar memahami inti pati ilmu dalam disiplin mereka pelajari.

Contoh smart skills diberikan ialah kematangan mengawal emosi, kemahiran pelbagai bahasa, kecekapan berunding, kemampuan memimpin perbincangan dan bekerja secara efektif dalam pasukan.

Contoh sharp skills ialah melombong pelbagai data, melakukan analitik, menggunakan pelbagai aplikasi dengan mahir, mereka bentuk pelbagai model dengan data dilombong yang semuanya dilakukan demi sebuah penyelesaian masalah.

Ini satu perkembangan cukup menarik untuk diteliti kerana cadangan fokus kepada smart and sharp skills dilihat sangat tepat, wajar serta bersesuaian dengan tuntutan semasa dan juga masa hadapan.

Jika selama ini IPT memberi perhatian kepada penerapan pelbagai kemahiran insaniah khususnya melalui Kursus Kokurikulum Berkredit, kini perlu membuat anjakan paradigma dengan menambah baik modul kursus serta aktiviti pembangunan sahsiah pelajar untuk meneroka dan memberi perhatian kepada aspek smart and sharp skills.

Bermakna, bakal graduan universiti wajar diberi pendedahan dan kemahiran sewajarnya supaya tidak kekok apabila memasuki alam pekerjaan dan perlu berurusan dengan ketua, rakan sekerja, serta pelanggan dan pemegang taruh berkaitan.

Terap kemahiran guna teknologi baharu

Aspek sharp skills juga dilihat lebih mendesak ketika ini susulan ledakan teknologi maklumat (IT). Bakal graduan IPT tidak boleh ketinggalan dalam hal ini, sebaliknya perlu dilatih dan diterap dengan kemahiran menggunakan pelbagai teknologi baharu.

Paling asas pada ketika ini kita perlu mahir dan bijak menganalisis data serta menggunakannya untuk membuat sesuatu keputusan. Semua organisasi kini mula membuat keputusan berdasarkan data kerana konsep ini semakin signifikan dan diterima sebagai formula tepat dan efektif.

Maka, IPT perlu segera merombak, menambah baik serta menaik taraf kursus dan program yang ada. Bermakna aktiviti kokurikulum dan pembangunan pelajar sedia ada perlu dijenamakan semula dengan memberi tumpuan kepada penerapan aspek smart and sharp skills.

Ini perlu dilihat sebagai tanggungjawab penting semua IPT demi melahirkan modal insan kalis masa hadapan yang diperlukan rakyat dan negara bagi memacu pembentukan masyarakat dan negara madani.

Lazimnya smart and sharp skills ini banyak dipelajari pelajar di luar kuliah terutama melalui penerapan teori dan praktikal ketika mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit atau aktiviti kurikulum berkredit seperti program pembangunan sahsiah lain.

Justeru sudah tiba masa IPT memperbanyakkan program penerapan smart and sharp skills boleh dilakukan secara bersistematik melalui kewujudan program pensijilan kemahiran dan kompetensi.

IPT wajar membangunkan modul fokus kepada aspek pengurusan manusia dan teknologi boleh diajar secara teori dan praktikal serta dinilai tahap kompetensi pelajar sebelum dianugerahkan sijil kemahiran dalam bidang terbabit.

Semua Ini boleh dilakukan melalui kerjasama strategik dengan badan profesional berpaksikan bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan organisasi, kepimpinan, analisis data serta IT.

Pada akhirnya, selain kelayakan ijazah dimiliki, sijil kompetensi seperti ini mengesahkan kemahiran dalam sesuatu bidang khusus akan menjadi nilai tambah sangat strategik dan signifikan kepada bakal graduan.

Tarikh Input: 16/02/2023 | Kemaskini: 16/02/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdOAp~