Ditulis Oleh: EN. DAHLAN ISMAIL ABU BAKAR (Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia)
Sumber: Berita Harian (16 Julai 2025)
Graduan universiti hari ini berdepan cabaran jauh berbeza berbanding dekad lalu. Pasaran kerja bukan sahaja menilai kelulusan akademik, malah semakin menuntut kemahiran teknikal dan insaniah yang boleh terus diguna pakai apabila memasuki alam pekerjaan.
Pada masa ini, laporan Kajian Pengesanan Graduan 2023 menunjukkan julat 80 peratus hingga 90 peratus graduan bekerja dalam bidang pengajian masing-masing bagi program pengajian teknikal dan tertumpu seperti pertanian, perhutanan, sains komputer dan kejuruteraan.
Namun, sebanyak 10.2 peratus iaitu seramai 13,777 masih belum mendapat pekerjaan. Jumlah yang tidak besar berbanding keseluruhan keluaran pada 2023 seramai 324,408 graduan.
Dalam konteks ini, program pensijilan profesional adalah program jangka pendek atau panjang bagi meningkatkan kecekapan atau kemahiran tertentu oleh badan profesional, industri atau institusi latihan yang diiktiraf menjadi pelengkap bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pelbagai bidang latihan ditawarkan, contohnya pemasaran digital dan komunikasi profesional, pengaturcaraan komputer, keusahawanan sosial dan reka bentuk grafik yang banyak memberi manfaat kepada graduan, selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam menghadapi transformasi digital.
Bagi memastikan program ini benar-benar berkesan, pelaksanaan program pensijilan perlu dinilai dari sudut realiti dan cabaran di lapangan.
Walaupun manfaatnya besar, pelaksanaan program pensijilan tambahan ini berdepan dengan beberapa cabaran utama.
Pendekatan lebih fleksibel, inklusif
Bagi mengatasi cabaran ini, pendekatan pelaksanaan program pensijilan perlu lebih fleksibel dan inklusif, antaranya memperkenalkan modul kendiri secara dalam talian, memberi kredit akademik kepada pensijilan diiktiraf serta menawarkan subsidi bersasar untuk pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Di samping itu, pemberi pendidikan tinggi boleh melaksanakan program tambahan ini dengan kerjasama penyedia khidmat latihan sebagai pemudah cara serta perantara industri dengan universiti.
Sebagai sebuah negara menuju ekonomi digital dan berpendapatan tinggi, masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada ijazah semata-mata untuk membina kerjaya masa depan.
Pensijilan profesional bukan lagi pelengkap pilihan, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada strategi kebolehpasaran nasional lebih menyeluruh. Hanya dengan menghadapi cabaran ini secara sistemik dan kolektif, graduan dikeluarkan benar-benar bersedia, kompeten dan diyakini industri.
Tarikh Input: 17/07/2025 | Kemaskini: 17/07/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan