Pupuk Semangat Hari Malaysia | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Pupuk semangat Hari Malaysia

Pupuk semangat Hari Malaysia

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun perlu dijadikan asas untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat, kata Pertubuhan Islam Sabah (Usia).

Yang Dipertuanya, Datuk Sairin Karno berkata, tanpa penghayatan dan pemahaman sejarah kemerdekaan negara yang telah membawa kepada pembentukan Malaysia, sambutan Hari Malaysia hanyalah sekadar 'hari cuti umum'.

“Tarikh 16 September itu sangat relevan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak mungkin berlaku sekiranya negara kita masih lagi di bawah cengkaman kolonial British.

“Justeru, sambutan Hari Malaysia juga wajar kita gunakan untuk memperingati jasa dan sumbangan para pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang telah berjuang mengangkat martabat dan maruah bangsa dan negara daripada belenggu penjajahan asing.

“Agenda kemerdekaan itu sendiri bersifat berkesinambungan, khususnya bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia, yang mana Hari Malaysia mempunyai peranan besar sebagai asas pembinaan semangat kebangsaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun bertujuan memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada Indonesia dan Filipina, yang memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar misi ke Borneo Utara pada 1963 yang mendapati majoriti rakyat Borneo Utara (kini Sabah) menyokong penubuhan Malaysia.

 

 

Tarikh Input: 30/09/2023 | Kemaskini: 30/09/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEcSAB~