Semakan Gaji Bela Nasib, Tingkat Kualiti Hidup Penjawat Awam | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Semakan gaji bela nasib, tingkat kualiti hidup penjawat awam

Semakan gaji bela nasib, tingkat kualiti hidup penjawat awam

Oleh En. Noor Mohamad Shakil Hameed

Persetujuan kerajaan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di negara ini adalah langkah wajar dan tepat pada masanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira dinanti-nantikan kira-kira 1.6 juta penjawat itu, bersetuju langkah berkenaan wajar dibuat selepas ambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada pada tahap rendah dan tiada peningkatan diberikan bagi suatu jangka agak lama.

Untuk rekod, gaji penjawat awam paling akhir dinilai semula pada 2013 dan ia suatu tempoh agak lama, terutama jika mengambil kira kenaikan kos sara hidup agak tinggi serta situasi ekonomi tidak menentu dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Ironinya, penjawat awam adalah tulang belakang kerajaan, terbabit secara langsung sebagai pelaksana segala dasar dan inisiatif diperkenal kerajaan untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

Justeru, kelompok rapat dengan rakyat ini perlu diberi suntikan motivasi, terutama dari aspek peningkatan kebajikan dan kualiti hidup supaya tidak asa terpinggir mahupun makan hati disebabkan gaji dan insentif ada tidak berbaloi dengan sumbangan perkhidmatan diberikan.

Hakikatnya, 10 tahun adalah tempoh terlalu lama, termasuk ketika negara mengharungi detik sukar tatkala diserang pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara hampir melumpuhkan semua aktiviti ekonomi serta menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, terutama kenaikan harga barangan mendadak.

Walaupun terkesan dengan situasi itu, sumbangan penjawat awam tidak pernah berkurangan, sebaliknya melaksanakan peranan sangat aktif secara cekap dan efisien untuk memulihkan semula ekonomi negara serta kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Jadi tidak salah untuk kerajaan memberi perhatian secara serius terhadap usaha untuk memperkasa dan meningkatkan kebajikan penjawat awam terutama kelompok gred rendah dalam kalangan berpendapatan rendah dan sederhana, iaitu B40 serta M40.

Kita sedar dan akui kantung kewangan kerajaan sangat genting pada ketika ini dengan kadar hutang negara sudah mencecah hampir RM1.5 trilion, selain keperluan untuk meningkatkan pelbagai infrastruktur dan kebajikan awam, namun inisiatif untuk menaikkan gaji penjawat awam itu tetap perlu dimulakan dari sekarang.

Dalam konteks ini kerajaan wajar meneliti dan mempertimbang lapan syor dikemukakan CUEPACS, antaranya kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada RM450, memperkenalkan elaun bandar raya RM500 serta kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik kepada RM180.

Juga peluang kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua lapan tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29 serta Sistem Saraan yang ada hendaklah dikaji setiap lima tahun sekali.

Penetapan gaji minimum RM1,800

Selain itu, satu lagi cadangan yang sangat menarik dan wajar ialah penetapan gaji minimum perkhidmatan awam pada kadar RM1,800 demi membela kehidupan penjawat awam dalam mengharungi fenomena kenaikan kos sara hidup.

Cadangan dikemukakan ini dilihat wajar dan dibuat setelah mengambil kira kualiti kehidupan penjawat awam yang semakin merosot sejak kebelakangan ini apabila kenaikan kos sara hidup tidak diimbangi dengan peluang kenaikan gaji yang bersesuaian.

Walaupun kerajaan mungkin tidak mampu memenuhi semua tuntutan itu, sekurang-kurangnya boleh fokus kepada beberapa aspek mampu memberikan impak signifikan kepada peningkatan kebajikan semua lapisan penjawat awam.

Jujurnya, dengan kadar gaji sama sejak 10 tahun lalu, majoriti penjawat awam daripada golongan B40 misalnya terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan, termasuk berniaga di pasar malam atau menjadi pengawal keselamatan selepas waktu bekerja demi menampung keperluan perbelanjaan dan kelangsungan hidup seisi keluarga.

Ini secara tidak langsung turut memberi kesan besar kepada kualiti kerja di pejabat, kehidupan serta tahap kesihatan penjawat awam.

Semakan yang akan dibuat perlu lebih menyeluruh merangkumi aspek sistem saraan yang fokus kepada penetapan kadar gaji lebih berstruktur dan sesuai dengan situasi semasa, selain mewujudkan peluang kenaikan gred atau pangkat progresif atau lebih terbuka berbanding penetapan kuota sangat terhad pada ketika ini.

Selain itu, semakan skim gaji penjawat awam ini juga sangat wajar supaya selari dengan cadangan pelaksanaan dasar kenaikan gaji progresif sektor swasta. Sudah tentu kita tidak mahu penjawat awam terus makan hati melihat pekerja swasta berpeluang menikmati kenaikan gaji lebih terjamin secara berkala tatkala mereka terpaksa terus bergelut dengan skim gaji sama.

Justeru, diharap cadangan semakan semula skim gaji dan sistem saraan perkhidmatan awam ini dapat dimuktamadkan serta dilaksanakan dengan segera supaya dapat merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji rakyat dengan kenaikan kos sara hidup sedang menghimpit kehidupan anggota masyarakat.

Tarikh Input: 29/07/2023 | Kemaskini: 29/07/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEdBA3~