SENI BUDAYA BUKAN REMEH | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » SENI BUDAYA BUKAN REMEH

SENI BUDAYA BUKAN REMEH

Oleh :Fazurawati Che Lah (Harian Metro)



Seni menjadi manifestasi tamadun kehidupan sesebuah negara dan peranannya cukup besar dalam pembangunan masyarakat.

Teater, seni tari, muzik, seni halus dan sinematografi umpamanya adalah prinsip asas yang diamalkan dalam seni dan pelengkap kepada kehidupan berkualiti.

Semua negara maju di dunia menegaskan pentingnya latihan dan galakan seni sama ada melalui latihan formal mahupun galakan lain dalam kalangan masyarakat.

 

Pencapaian, kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara.

 

Pada masa ini peranan seni diterima sebagai antara elemen pembangunan negara yang berkemampuan menjana kehidupan lebih berkualiti.

Melalui latihan seni yang berteraskan pendidikan, sesebuah masyarakat pasti mampu menjelmakan modal insan yang berhemah dan bertamadun.

Pelaksanaan program seni yang berkualiti tidak dapat dijayakan dengan hanya membiarkan program itu berjalan sendirian di sekolah semata-mata.

Seni, seperti juga program pembangunan yang lainnya, perlu dibimbing, dipupuk dan dirancang secara tersusun melalui program asuhan, bimbingan serta latihan.

 

Pencapaian cemerlang bakat seni membanggakan di persada antarabangsa adalah satu tuntutan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen semua pihak yang berkaitan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memadu tenaga dan membuat perancangan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berkaitan memperkayakan kebudayaan, kesenian dan warisan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang lengkap, unggul dan prihatin terhadap seni.

Pelbagai program yang meliputi bimbingan, asuhan dan latihan sudah dilaksanakan di sekolah sejajar dengan perkembangan dalam pembangunan pendidikan berorientasikan kepelbagaian kemahiran dan kecerdasan.

Ini penting supaya generasi hari ini lebih berupaya menghadapi realiti dunia pekerjaan yang persaingannya sangat sengit dan mencabar.

Hasrat murni KPM untuk mendaulatkan pendidikan kesenian di sekolah adalah selaras dengan misi dan visi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ke arah melahirkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan serta kesenian luhur dan beridentiti.

Melihat kelebihan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melaksanakan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) dengan mengambil inisiatif menyediakan latihan seni budaya kepada setiap lapisan masyarakat bagi tujuan meningkatkan kefahaman serta kecintaan terhadap seni budaya.

Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Fauziah Zakaria berkata, pembangunan seni budaya dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya membantu pembangunan modal insan seseorang termasuk sahsiah diri.

 

“Sebut saja tarian, ramai yang menganggap ia hanya pergerakan mengikut irama lagu. Namun di sebalik persembahan itu, ia membentuk sahsiah diri penari atau pemain (bagi permainan tradisional juga seni budaya) seperti disiplin menepati masa dan juga mematuhi setiap peraturan.

“Setiap persembahan atau latihan seni budaya yang disertai individu secara tidak langsung mempamerkan elemen nilai murni.

“Tarian zapin umpamanya menuntut penarinya memberi pergerakan penuh tertib dengan kesopanan tingkah laku manusia secara semula jadi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, melihat kepada perkembangan positif seni tarian dan budaya negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui JKKN melaksanakan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) sejak 1996 bagi membangunkan produk asuhan seni budaya dalam kalangan generasi muda.

Fauziah berkata, sebanyak empat aktiviti utama dijalankan melalui PBSB seperti pembangunan modul yang membabitkan enam bidang iaitu teater, tari, muzik (gamelan dan kompang), permainan tradisional (gasing), seni berbahasa dan silat.

“Seramai 2,169 jurulatih daripada pelbagai bidang menerima pengiktirafan melalui Pembangunan Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN). Dua program bimbingan kecemerlangan seni iaitu Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSB) JKKN negeri dan Program PERMATA Seni.

“Melalui aktiviti bimbingan seni budaya pula terbahagi kepada empat iaitu celik seni, didik seni; pintar seni dan komuniti seni,” katanya.

Fauziah berkata, melalui program didik seni, iaitu penjenamaan baharu untuk pembangunan Kelab Tunas Budaya (KTB) di sekolah rendah seluruh negara yang membabitkan murid sekolah rendah seawal usia enam hingga 12 tahun.

“Kelolaan Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) yang menggunakan Modul Seni Cemerlang, ia bukan saja bagi mengesan bakat muda malah menyemai sikap mencintai serta menghargai seni budaya negara.

Baru-baru ini, JKKN bersama KPM menandatangani dokumen surat hasrat kerjasama program bimbingan seni budaya pada majlis Pengiktirafan Sekolah-Sekolah di Bawah Bimbingan Seni Budaya di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tarikh Input: 29/05/2023 | Kemaskini: 29/05/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdSAm~