TANAMAN MODEN: HIDROPONIK BERSAMA B40 DAN OKU | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » TANAMAN MODEN: HIDROPONIK BERSAMA B40 DAN OKU

TANAMAN MODEN: HIDROPONIK BERSAMA B40 DAN OKU

Pelajar tahun satu dari Kursus Pembangunan Kesukarelawanan (QKU2203II) - Kumpulan 8, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan satu Projek Komuniti Kesukarelawanan yang mengkhususkan kepada kaedah penanaman secara Hidroponik pada 19 dan 20 Jun 2021. Program ini di bawah bimbingan fasilitator kumpulan 8, Dr Velu A/L Perumal.

Tema bagi program ini ialah Bengkel Hidroponik: “Skills To Property”. Tema dipilih berdasarkan matlamat program yang bersifat pemindahan ilmu iaitu pendedahan kepada teknik dan kemahiran penanaman secara moden. Seramai 30 orang peserta terlibat yang terdiri daripada golongan B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Idea ini tercetus berikutan penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh negara dan mengakibatkan ramai masyarakat yang terkesan. Pelajar mengambil inisiatif ini sebagai satu peluang bagi membantu komuniti untuk menjana pendapatan yang baharu dan menyara kehidupan seharian.

Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah antara golongan penting dalam masyarakat yang mempunyai potensi tersendiri. Selain daripada menyediakan kemudahan atau perkhidmatan kepada mereka, penganjuran program ini juga merupakan inisiatif para pelajar bersama dengan pihak Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor & Wilayah Persekutuan - Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah, (PPOC) yang diwakili oleh Bendahari Kehormat, YBhg Puan Suhaila Emma Merican bagi memberi pendedahan tentang tanaman secara hidroponik di samping menggilap keistimewaan yang sedia ada pada golongan ini agar menjamin kepentingan dan kesejahteraan mereka.

YBhg Puan Suhaila Emma Merican, dalam ucapannya berkata Bengkel Hidroponik: “Skills to Property” merupakan program yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya orang kelainan upaya untuk membangun dan mencapai potensi maksimum mereka, agar orang kelainan upaya memperoleh pendapatan dan kualiti hidup mereka.

“Persatuan kami mempunyai tanggungjawab asas, bukan hanya untuk menyediakan tempat tinggal dan makanan bahkan menyemai nilai kehidupan kepada setiap penghuni. Jadi, program bengkel Hidroponik ini memberikan impak yang positif dari keunikan projek di samping memberi peluang belajar serta menuai hasil daripada projek tersebut”.

Tambah beliau lagi, “aktiviti bengkel ini juga dapat mencungkil minat kepada penghuni kami melalui setiap aktiviti yang direncanakan bersesuaian dengan kemampuan  fizikal mereka yang terbatas. Oleh hal yang demikian, kami mengucapkan terima kasih kerana melibatkan kami dalam program ini."

Diharapkan melalui penganjuran Program Bengkel Hidroponik “Skills To Property” ini, dapat membantu para peserta dalam menjana pendapatan di samping mewujudkan komuniti yang mencintakan alam sekitar.

Tarikh Input: 06/08/2021 | Kemaskini: 06/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEaNAc~