UPM Gilat Bakat Kepimpinan Murid Sekolah Rendah | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » UPM gilat bakat kepimpinan murid sekolah rendah

UPM gilat bakat kepimpinan murid sekolah rendah

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Kepimpinan Jati Diri membabitkan tiga buah sekolah rendah di daerah Chenor, Pahang pada 14 hingga 16 Julai yang lalu.

Program dianjurkan sebagai inisiatif untuk menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah sekali gus memupuk semangat jati diri dan patriotisme sebagai generasi pelapis masa hadapan negara.

Program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Lada ini telah melibatkan penyertaan 100 orang murid tahap dua dari kalangan pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, pengawas surau, pengawas makmal dan ketua kelas daripada tiga buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Lada, Sekolah Kebangsaan Bukit Bota dan Sekolah Kebangsaan Sekara.

Program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu dari universiti kepada masyarakat ini diadakan bagi membantu mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan pelajar melalui pendekatan teori dan praktikal menggunakan kaedah latihan dalam kumpulan.

Program ini berjaya dikendalikan dengan lancar melalui penglibatan barisan fasilitator dari kalangan 24 orang pelajar ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM yang melaksanakan pelbagai aktiviti dan permainan bercirikan kepimpinan berbentuk latihan dalam kumpulan.

Antara modul menarik yang dilaksanakan ialah, Saya Seorang Pemimpin, Kotak Beracun, Bicara Berantai dan Kembara Kepimpinan.

Dalam ucapan majlis perasmian penutup, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Mohd Ariffin Ab Rahman, menzahirkan penghargaan kepada UPM, khususnya PKPP
atas inisiatif turun padang bagi membantu meningkatkan kecemerlangan kepimpinan dan sahsiah murid sekali gus memperkasa minat murid untuk menjadi pemimpin
negara pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @Hussin turut mengingatkan semua murid bahawa pelbagai aktiviti permainan dan latihan dalam kumpulan yang telah dilaksanakan boleh dijadikan platform untuk menambahkan pengetahuan serta kemahiran tentang aspek kepimpinan dan diharap dapat membantu mereka menjadi pemimpin yang hebat.

Selain itu, dalam majlis penutup program, Omrah juga menyampaikan watikah pelatikan sebagai Rakan Strategik – Jaringan Masyarakat kepada ketiga-tiga buah sekolah tersebut yang diwakili oleh Guru Besar masing-masing.

Bagi pelajar UPM, penganjuran program seperti ini selari dengan sasaran matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025 serta matlamat pendidikan, iaitu melahirkan graduan bitara yang holsistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan. Melalui program seperti ini pelajar dapat turun padang untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan motto UPM, “Berilmu Berbakti”. Inisiatif PKPP ini juga seiring dengan rukun ihsan
masyarakat Madani, iaitu mengambil peduli dan membantu anggota masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembentukan negara Madani yang dihasratkan.

Program berkonsepkan kem kepimpinan ini adalah pelengkap kepada tiga siri program yang telah dirancang di mana siri pertama berkonsepkan kem bahasa Inggeris telah diadakan pada Oktober tahun lalu dan siri kedua berkonsepkan kem eksplorasi Sains telah diadakan pada Februari 2023.

Tarikh Input: 28/07/2023 | Kemaskini: 28/07/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEbXAD~