Innovation Fun Day | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » Innovation Fun Day

Innovation Fun Day

Innovation Fun Day, pupuk minat pelajar terhadap inovasi
AIMI NAJWA, UPM Isnin | 29 April 2019
 
KUALA LUMPUR – Usaha memupuk budaya inovasi dalam kalangan para pelajar dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, Kuala Lumpur telah berjaya dilaksanakan melalui program Innovation Fun Day anjuran pelajar-pelajar kursus kokurikulum berkredit (KKB), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi teras Inovasi dan Reka Cipta baru-baru ini.
 

Diketuai Pengarah Program, Syara Haziqa Mohd Helmen, program dengan kerjasama SK Desa Tasek dan Putra Science Park, UPM ini disertai 130 pelajar serta guru-guru sekolah yang terdiri daripada penyelaras Bahagian Hal Ehwal Murid, penyelaras kokurikulum dan penyelaras pelajar tahun enam.

Menurut guru besar sekolah, Mazlan Bahari, program sebegini dapat membuka peluang bagi pendedahan dan galakan kepada pelajar-pelajar terutamanya untuk lebih berinovasi dalam pelbagai aspek dan secara tidak langsung dapat memupuk budaya inovasi dalam persekitaran sekolah.

 
Pelancaran Laluan Anti Dadah (Kehancuran) PPDa bagi menghargai kerjasama antara UPM dan SK Desa Tasek. (FOTO UPM)
“Dengan adanya program sebegini, murid-murid dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan dalam inovasi serta mengasah pemikiran kreatif dan inovasi yang dimiliki, sekali gus membentuk daya usaha inovasi kepada mereka.
"Program ini juga menggalakkan warga sekolah terutamanya pelajar untuk melibatkan diri dalam inovasi dan menyemai minat inovasi dalam kalangan mereka kerana mereka melakukan aktiviti-aktiviti hands on yang berkaitan dengan inovasi yang menarik dan interaktif,” katanya semasa majlis perasmian program berkenaan.
 

Sementara itu, fasilitator bagi KKB Inovasi dan Reka Cipta, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Hafliza Hussin berkata, program yang menggunakan pendekatan inovasi sosial (social innovation) ini merupakan sebahagian daripada penilaian kepada pelajar-pelajar UPM yang mengambil kursus Inovasi dan Reka Cipta.

 
Aktiviti reka cipta produk dan inovasi oleh pelajar untuk memupuk suka inovasi. (FOTO UPM)
“Pelajar-pelajar harus melaksanakan program yang merangkumi projek mini dan projek mega yang perlu melibatkan komuniti bagi mendapat impak pembelajaran secara holistik atau menyeluruh.

“KKB adalah diwajibkan kepada semua pelajar UPM bagi melengkapkan pengajian dan syarat untuk mereka graduated (tamat pengajian). PKPP bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan program-program bagi membentuk Kemahiran Insaniah dan Kemahiran Teknikal dalam kalangan pelajar seiring dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang mempunyai tahap ‘survival’ yang tinggi serta seimbang dalam pencapaian akademik dan kokurikulum,” jelasnya.

 
Antara pengisian dan aktiviti interaktif slot Innovation Talk. (FOTO UPM)

 

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah pameran dan aktiviti interaktif Edu-Park/edupelancongan UPM, demonstrasi produk inovasi UPM yang berkaitan pendidikan iaitu STARKIT (Augmented Reality Story Kit) dan Kit Bijak Wang, pameran dan jualan produk komersial UPM, Innovation Talk serta Games Station.

 
Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah hands on modul Edu-Park UPM. (FOTO UPM)

 

Turut diadakan ialah Pelancaran Laluan Anti Dadah di sekolah berkenaan bagi menghargai hasil reka cipta dan inovasi pelajar-pelajar UPM dengan bimbingan fasilitator dan penyelaras Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di laluan tersebut.

 
Mazlan bersama wakil PKPP dan penyelaras inovasi UPM melihat hasil inovasi kalangan penuntut UPM di laluan Anti Dadah (Kehancuran) PPDa. (FOTO UPM)

Date of Input: 30/04/2019 | Updated: 30/04/2019 | hairulnizam

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEXQAm~