PELAJAR UPM BANTU PEMBELAJARAN ANAK SEMPORNA | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » PELAJAR UPM BANTU PEMBELAJARAN ANAK SEMPORNA

PELAJAR UPM BANTU PEMBELAJARAN ANAK SEMPORNA

Oleh : RAHMAWATI NURDIN

Serdang :- Meskipun negara berhadapan dengan pandemik COVID 19, namun perkara ini tidak menghalang hasrat murni 38 orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia untuk membantu sekolah Al Huda Iskamic Learning Centre, Semporna, Sabah.

Para pelajar ini telah menjalankan kutipan secara atas talian selama sebulan untuk membantu meyediakan alat tulis serta penambahbaikkan surau di sekolah tersebut.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Amirul Haziq, ketika di temui pada majlis pelancaran Program Comfort Our Youth baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa usaha ini dijalankan atas keprihatinan terhadap pendidikan murid-murid di sekolah tersebut.

“Kami melihat sekolah ini perlu dibantu kerana masih banyak lagi kekurangan dari aspek kemudahan  pembelajaran yang disediakan seperti alat tulis, alat bantuan mengajar dan sebagainya kepada para pelajar”.

Tambahannya lagi, “Sekolah ini memberikan peluang pendidikan percuma kepada anak-anak setempat yang tidak mendapat peluang pendidikan di sekolah kerajaan atas faktor masalah kewangan dan jarak rumah ke sekolah yang jauh”.

Selain itu, para pelajar UPM juga menyediakan video pembelajaran bagi subjek-subjek yang tertentu agar murid-murid Al-Huda dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai subjek tersebut.

Usaha yang dilakukan oleh mahasiswa Kursus Pembangunan Kesukarelawanan ini turut mendapat sokongan daripada Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, UPM, Prof. Dr.Ismi Arif Ismail yang hadir merasmikan Majlis perasmian program tersebut.

“Saya amat menggalakkan program yang akan menanam nilai keprihatinan dalam diri pelajar kerana Kami ingin melihat mahasiswa menjadi ahli masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah dari segi kepimpinan dan sahsiah”

“Saya juga mengharapkan supaya lebih ramai lagi penuntut yang mengambil bahagian dalam program kesukarelawan seperti ini sesuai dengan moto UPM, iaitu berilmu dan berbakti,” katanya dengan menambah, lebih banyak dana dapat dikumpulkan agar dapat membantu program ini mencapai objektifnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM, Prof Madya Dr. Nur Izura Binti Udzir.

Selain itu, turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah slot Sembang Santai “Q-tea talk volunteerism:kerana cinta aku rela” yang bertemakan kesukarelawanan yang dihadiri oleh tiga orang panel iaitu Pengasas Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia, Nurliana Muhammad.Seterusnya, Encik Khairul Jamain iaitu seorang Youtuber dan Pengembara Sepenuh Masa dan panel yang ketiga adalah Encik Hassan Unus yang merupakan Pengasas Pertubuhan Semporna Prihatin.

Forum tersebut bertujuan untuk memberi perkongsian serta kesedaran terhadap orang ramai bagi membantu masyarakat yang memerlukan bukan sahaja dari aspek kewangan namun jua dari aspek tenaga.

Setakat ini para pelajar ini telah berjaya mengumpulkan wang tunai berjumlah RM 4,000. Semoga lebih ramai lagi masyarakat yang sudi menderma bagi membantu para pelajar ini.

Date of Input: 06/08/2021 | Updated: 06/08/2021 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEaGAt~