PROGRAM BICARA NIAGA MEMPERKASA USAHAWAN MUDA TERAPKAN SEMANGAT KEUSAHAWANAN DALAM DIRI PELAJAR | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » PROGRAM BICARA NIAGA MEMPERKASA USAHAWAN MUDA TERAPKAN SEMANGAT KEUSAHAWANAN DALAM DIRI PELAJAR

PROGRAM BICARA NIAGA MEMPERKASA USAHAWAN MUDA TERAPKAN SEMANGAT KEUSAHAWANAN DALAM DIRI PELAJAR

Oleh: Nur Saffa Nadia Binti Noradon

SERDANG 17 Disember 2022 – Dalam meniti arus kemodenan ini, kita dapat melihat inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh masyarakat dalam menjana pendapatan bagi memperoleh kemajuan hidup dek kerana bimbang akan masalah ekonomi yang sedang berlaku hampir di seluruh dunia. Oleh kerana itu, semua golongan masyarakat termasuk para mahasiswa tertarik dan melibatkan diri dalam dunia perniagaan sekali gus memberi impak positif terhadap program-program keusahawanan yang dijalankan termasuklah program “Bicara Niaga: Memperkasa Usahawan Muda” anjuran Kursus Berkredit Usahawan Siswa QKH2104 Kumpulan 1 dengan kerjasama Kursus Berkredit Pengurusan Majlis QKW2109 Kumpulan 2 yang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Fasilitator Khas, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar iaitu Encik Muhammad Zaim bin Rusli berkata, program “Bicara Niaga: Memperkasa Usahawan Muda” diadakan adalah untuk mengasah kemahiran insaniah keusahawanan dalam diri pelajar dan memberi idea kepada para peserta yang berminat bagi memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan dengan berdaftar sebagai ejen produk.

Beliau berkata, dalam mendepani masalah ekonomi yang tiada penghujung ini, menjadi usahawan adalah satu daripada inisiatif terbaik sebagai persiapan diri untuk menghadapi segala cabaran yang akan datang.

“Cuba dan belajarlah melibatkan diri dalam dunia perniagaan sekiranya mampu, sepertimana saya telah berkecimpung dalam dunia perniagaan ini sejak umur 10 tahun dengan mengikuti bapa saya berniaga sebagai penjual burger di bahu jalan. Implikasinya, saya dapat mengetahui cara untuk memasak burger, mengendalikan bayaran pelanggan dan membuat segala perkara yang dilakukan oleh bapa saya sebagai seorang penjual burger. Kesan daripada itu, minat saya terhadap dunia perniagaan telah dipupuk sejak kecil dan saya masih dalam dunia perniagaan ini sehingga kini walaupun bukan seorang penjual burger lagi,” katanya semasa upacara perasmian program “Bicara Niaga: Memperkasa Usahawan Muda” di Dewan Kenyalang, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Universiti Putra Malaysia yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang pelajar pada hari Sabtu yang lalu.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah tayangan video montaj produk yang dihasilkan oleh pelajar QKH2104 Usahawan siswa kumpulan 1 sendiri iaitu Chocomons, sesi perkongsian mengenai Memperkasa Usahawan Muda Bersama Chocomons oleh Pengarah Program iaitu Nur Hidayah binti Idris, sesi perkongsian bersama 2 orang pelajar top sellers produk Chocomons iaitu Nur Khairunnisa binti Abd Rahim dan Nurin Adni binti Mohd Zaronizam, penyerahan hadiah berupa kepingan emas habib kepada 2 orang top sellers, hadiah cenderahati kepada speaker dan perasmi majlis serta hadiah cabutan bertuah kepada 5 orang peserta.

“Program seperti ini perlu diadakan lebih banyak lagi bagi melahirkan pelajar yang bersifat keusahawanan dan berkemahiran serta menerapkan sifat keberanian mengambil risiko dalam diri pelajar di samping membantu meningkatkan ekonomi para pelajar Universiti Putra Malaysia sebagai pendapatan sampingan,” kata Fasilitator Khas, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar iaitu Encik Muhammad Zaim bin Rusli sebelum beliau meneruskan upacara perasmian program “Bicara Niaga: Usahawan Muda”.

Date of Input: 16/02/2023 | Updated: 16/02/2023 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXETVAN~