PROGRAM JENESYS PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA – JEPUN | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » PROGRAM JENESYS PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA – JEPUN

PROGRAM JENESYS PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA – JEPUN

PROGRAM JENESYS PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA – JEPUN



SERDANG – Seramai 10 orang pelajar Jepun dari tiga buah universiti, iaitu Hokkaido University of Education, Kochi University dan Gifu University telah menyertai Program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS) Outbound di Malaysia dengan mengadakan lawatan serta mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti bersama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan komuniti Taman Sri Serdang, Selangor dari 16 hingga 18 Mac yang lalu.

Program ini bertujuan menggalakkan persefahaman di peringkat belia antara negara Jepun dengan negara rantau Asia Pasifik di samping membina jaringan perhubungan serta kerjasama masa depan.

Program ini juga menggalakkan pemahaman mengenai ekonomi, masyarakat, sejarah, budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun.

Untuk tujuan ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memilih Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM bagi mengendalikan university exchange program bersama pelajar UPM serta aktiviti dengan anggota masyarakat setempat di Taman Sri Serdang.

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan ialah, sesi dialog, pertukaran idea dan pandangan serta perkongsian budaya antara pelajar UPM dengan Jepun, aktiviti memetik sayur dan mempelajari proses penghasilan madu kelulut di ladang Fakulti Pertanian UPM serta aktiviti home visit yang berkonsepkan program anak angkat di mana 10 orang pelajar Jepun telah ditempatkan di lima buah keluarga angkat dari kalangan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang.

Melalui aktiviti home visit misalnya, penduduk tempatan telah mengambil peluang untuk mengajar budaya masyarakat majmuk di Malaysia dengan menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti roti jala, ubi rebus, tose serta kuih bakul, bermain congkak di samping menyediakan pakaian mewakili tiga kaum utama iaitu baju kurung dan baju melayu, baju Cheongsam serta Kurta untuk dipakai oleh para peserta Jepun.

Program sepanjang tiga hari tersebut telah diuruskan oleh PKPP dengan bantuan fasilitator dari kalangan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM serta kelab Buddies UPM melalui kerjasama dengan Fakulti Pertanian, Pusat Antarabangsa dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @ Hussin yang berharap program pertukaran belia seperti ini dapat terus dilaksakanan sebagai aktiviti tahunan demi manfaat bersama.

“Penglibatan pelajar UPM dan Jepun dalam program pertukaran belia seperti ini pastinya boleh membantu memperkasakan Dasar Pandang Ke Timur melalui kerjasama strategik antara belia Malaysia dengan Jepun.

“Kita mahu pelajar UPM khususnya merebut peluang seperti ini untuk mempelajari pelbagai nilai murni dari masyarakat Jepun yang boleh dijadikan contoh seperti ketepatan masa serta menitikberatkan soal kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap belia Malaysia juga mengambil kesempatan melalui program seperti ini untuk mengadakan lawatan ke Jepun bagi mempelajari dengan lebih mendalam budaya mereka selain mempromosikan budaya dan amalan rakyat kita,” katanya.

Program tiga hari berakhir dengan majlis Sayonara bersama pegawai UPM, KBS serta Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang.

 

Date of Input: 28/03/2023 | Updated: 28/03/2023 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUCAW~