PROGRAM TEMASYA MANIFESTASI SENI UPM 2023 (TEMANS) | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » PROGRAM TEMASYA MANIFESTASI SENI UPM 2023 (TEMANS)

PROGRAM TEMASYA MANIFESTASI SENI UPM 2023 (TEMANS)

SERDANG 7 Januari, – Minat terhadap bidang kebudayaan dan kesenian di kalangan anak muda ternyata tidak pernah pudar dengan hangatnya sambutan daripada para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga pengunjung luar ke Temasya Manifestasi Seni UPM 2023 (TEMANS). Program ini telah dianjurkan oleh 12 buah kelas di bawah Teras Kebudayaan daripada Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM dengan kerjasama lebih daripada 12 rakan strategik antaranya adalah Prodigy Studio Music & Dance Academy, Jabatan Warisan Negara, Putra FM, UPM, Jantzen Water Malaysia, Mary Kay, House of Kambing dan sebagainya.

 

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @ Hussin berkata, pelbagai nilai Kemahiran Insaniah yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah mahasiswa cemerlang harus dan telah dipraktiskan dalam penganjuran program ini. Katanya lagi penganjuran program Temasya Manifestasi Seni UPM 2023 atau akronim TEMANS itu sendiri membawa maksud teman-teman yang menjurus kepada semangat kerjasama serta jalinan hubungan yang kuat bukan saja di kalangan para pelajar tetapi juga pihak luar daripada UPM.

Beliau juga berkata kerjasama yang erat antara UPM dan pihak luar amatlah perlu agar penglibatan komuniti seperti dalam program ini dapat mewujudkan perkongsian ilmu yang tidak terbatas dalam dewan kuliah sahaja.

 

“UPM sentiasa mengalu-alukan semua pihak yang sedia bekerjasama dalam pelbagai bidang tidak kira akademik mahu pun bukan akademik kerana dengan moto “Berilmu, Berbakti” itulah yang menjadi pegangan kita untuk sentiasa berbakti dengan komuniti luar” katanya lagi.

 

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sehari temasya ini, antaranya adalah Prodigy Studio Konsert Muzik yang menghimpunkan 95 orang pelajar daripada sekolah muzik tersebut bagi melakukan persembahan akhir tahun mereka. Selain itu pelbagai bengkel alat-alat muzik tradisional seperti Cak Lempong, Kompang dan Gordang Sembilan juga telah dijalankan bagi mendedahkan kepada pelajar UPM dan juga masyarakat luar dengan seni alat muzik tradisi yang semakin dilupakan. Selain itu terdapat juga bengkel lakonan dan teknikal bersama pelakon terkenal iaitu Amar Asyraf. Pendekatan berbentuk permainan secara fizikal seperti pertandingan Eksplorasi Warisan serta permainan berbentuk maya seperti e-Sport Warisan Budaya yang menggunakan elemen pantun dalam permainan tersebut turut menarik perhatian para pelajar UPM dan masyarakt luar untuk menyertai permainan tersebut.

 

Pada sebelah malam pula telah berlangsung Konsert Malam Penutup TEMANS UPM 2023 dengan persembahan daripada penyanyi terkenal iaitu Amir Jahari serta persembahan daripada para pelajar UPM sendiri seperti persembahan medley alat- alat muzik tradisional daripada Cak Lempong, Kompang dan Gordang Sembilan,persembahan tarian Melayu, persembahan tarian klasik India dan persembahan nyanyian turut memeriahkan lagi acara malam itu.

 

“Program berbentuk temasya yang julung kali diadakan ini diharap dapat diteruskan untuk masa akan datang agar manifestasi seni tidak terhenti pada malam ini sahaja” kata Pengarah TEMANS UPM 2023, saudari Chan Qian Ni ketika berucap di Konsert Malam Penutup TEMANS di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, hari ini.

Date of Input: 19/04/2023 | Updated: 19/04/2023 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEbFA4~