PROGRAM WATER SAFETY CAMP “Stay Safe Around Water” DISAMBUT DENGAN JAYANYA | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » PROGRAM WATER SAFETY CAMP “Stay Safe Around Water” DISAMBUT DENGAN JAYANYA

PROGRAM WATER SAFETY CAMP “Stay Safe Around Water” DISAMBUT DENGAN JAYANYA

Oleh: Nur Farah Afrina Binti Khairul Ariffi

Port Dickson 4 Jun - Water Safety Camp telah dianjurkan oleh Kursus Renang Asas (QKS2112) yang dikendalikan oleh seorang fasilitator iaitu Siti Maisarah binti Abdul Samad dan fasilitator khas, Puan Arba'ah binti Md Salleh dengan kerjasama Akademi Aquaputra Malaysia. Program yang diadakan selama 2 hari 1 malam ini telah diadakan di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, UPM. Tujuan program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik keselamatan di dalam air dan juga teknik penyelamatan mangsa semasa menjalankan kegiatan sukan air.

Program ini mendapat penyertaan seramai 26 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar UPM, pensyarah UPM, staf UPM dan komuniti luar yang sering menceburi aktiviti perkhemahan di kawasan air. Kerjasama yang baik dan hubungan yang erat telah ditampilkan oleh peserta semasa melakukan aktiviti yang telah dirancang. Hari pertama program dimulakan dengan sesi ice breaking. Seterusnya, peserta terlibat dalam sesi taklimat keselamatan air dan taklimat CPR. Teknik cardiopulmonary resuscitation (CPR) atau lebih dikenali sebagai CPR merupakan satu kaedah rawatan pemulihan dan kecemasan apabila degupan jantung seseorang terhenti. Menerusi taklimat ini, peserta diberi tunjuk ajar mengenai cara melakukan pelbagai teknik CPR kepada mangsa tanpa mengira umur. Di samping itu, peserta juga berpeluang untuk terlibat dalam simulasi penyelamatan menggunakan teknik CPR. Sesi taklimat ini telah dikendalikan oleh Encik Abdullah Bin Said, Presiden Aquaputra Malaysia yang berpengalaman dalam penyelamatan akuatik. Pada sebelah petang pula, terdapat aktiviti di pantai iaitu aktiviti asas renang dan keyakinan diri. Ia bertujuan supaya peserta dapat membina keyakinan diri ketika berada di dalam air. Peserta juga dapat mengaplikasikan teknik asas apungan dan teknik asas renang jika berlaku sebarang kecemasan ketika di dalam air. Aktiviti yang terakhir bagi hari pertama telah dibuat pada waktu malam iaitu sesi perkongsian. Di dalam aktiviti ini, peserta melakukan pembentangan mengenai apa yang telah mereka pelajari daripada aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang hari pertama.

Pada hari kedua, peserta terlibat dalam aktiviti senamrobik. Ia bertujuan menguatkan otot jantung dan membina badan yang cergas sebelum melakukan aktiviti yang seterusnya. Aktiviti yang kedua ialah teori dan praktikal menyelamat akuatik. Ia dapat memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan teknik yang telah dipelajari di pantai, termasuk menyelamatkan mangsa lemas dengan menggunakan peralatan penyelamat seperti Water Rescue Throw Bag dan paddle board. Di samping itu, peserta juga telah menyertai slot team energiser dan slot ini mempunyai satu aktiviti yang di adakan iaitu tarik tali. Tujuan aktiviti tersebut adalah dapat membina kerjasama peserta dalam pasukan dan mengeratkan hubungan antara peserta dengan pelajar-pelajar UPM. Majlis penutupan bagi program ini telah berlangsung dengan meriah dengan kehadiran tetamu - tetamu VVIP iaitu Encik Abdullah Bin Mat Said, Presiden Akademi Aquaputra dan Encik Bukryman Bin Sabri, Penyelaras Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM. Majlis penutup ini dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program, Presiden Aquaputra Malaysia yang seterusnya telah merasmikan majlis penutupan program Water Safety Camp. Sebelum majlis berakhir, sesi penyampaian hadiah kepada pemenang dan sesi fotografi telah diadakan.

Date of Input: 27/07/2023 | Updated: 27/07/2023 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEdDAm~