Scouts Of The World Award 2019 | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » Scouts of the World Award 2019

Scouts of the World Award 2019

Anugerah Pengakap Dunia 2019 platform anak muda diiktiraf global

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 12 ahli pengakap Malaysia, Kumpulan ‘Walkside by Rovs Project’, mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pengakap Dunia 2019.

 

Ia hasil kejayaan menyiapkan projek inovasi laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter menggunakan 80,000 penutup botol plastik minuman yang dikitar semula untuk kegunaan awam di Jalan Mesra, Off Jalan Damai, Datuk Keramat di sini, tahun lalu.

 

Penutup botol minuman itu dikumpulkan menerusi pelbagai kaedah termasuk acara korporat, pembersihan jalanan, gotong-royong, hari terbuka dan sumbangan kumpulan pengakap luar negara termasuk dari Indonesia, Myanmar dan Maldives, mulai dari 1 Julai sehingga 29 September 2018.

 

Penolong Ketua Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Universiti Putra Malaysia, Mohd Azrol Hafizi Azman, berkata projek itu antara lain bertujuan mempromosi usaha penjagaan alam sekitar dalam kalangan orang ramai terutama generasi muda dan murid menerusi konsep 3R.

 

Projek itu juga memberi impak sosial yang sangat besar kepada masyarakat setempat seperti memberikan kemudahan, keselesaan dan keselamatan ke tahap lebih baik serta memberi impak alam sekitar besar dalam menjayakan kempen 3R dalam kalangan masyarakat di negara ini.

 

Katanya, projek itu tercetus selepas mereka melihat kebanyakan amalan penjagaan alam sekitar tidak begitu diamalkan oleh masyarakat setempat.

 

“Oleh itu kami cuba menonjolkan yang kita boleh memberi impak besar kepada penjagaan alam sekitar menerusi penggunaan bahan kitar semula seperti penutup botol plastik minuman sebagai laluan pejalan kaki untuk kegunaan komuniti setempat.

“Kami juga mengutip derma dan meminta ahli kumpulan menyumbangkan sedikit dana untuk membeli simen dan pasir, serta mengorbankan masa dan tenaga mereka bagi menyiapkan pembinaan laluan pejalan kaki berkenaan,” katanya kepada BH.

 

Sementara itu, Ketua Projek, Shaherwiena Nadhirah Shahrul Nizam, bangga dengan pencapaian berkenaan kerana bukannya mudah untuk menyiapkan projek terbabit berikutan kebanyakan ahli kumpulan tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Katanya, fokus mereka menyiapkan projek itu bukannya semata-mata untuk menang anugerah, tetapi lebih kepada mahu berbakti dan memberi sumbangan semula kepada komuniti, selain mempromosi nama Pengakap Malaysia kepada masyarakat.

 

“Bagaimanapun, kami tidak boleh lari daripada menghadapi pelbagai cabaran ketika menyiapkan projek laluan pejalan kaki termasuk terpaksa bekerja mengikut tarikh tertentu selain dalam cuaca panas dan hujan kerana, sebahagian ahli kami tinggal di luar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

 

Shaherwiena Nadhirah berkata mereka juga bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan inovasi itu diguna pakai di lokasi lain terutama taman rekreasi di sekitar ibu negara, pada masa depan.

 

Ahli kumpulan berkenaan ialah Shaherwiena Nadhirah Shahrul Nizam (Krew A Udara Kajang); Nuralif Affandi Nor Rahmat (Krew A Udara Kajang); Aliff Ajwad Marzuki (Krew D Wangsa Maju); Amsyar Afiq Azman (Krew D Wangsa Maju); Mohd Azrol Hafizi Azman (Krew KLKM UPM).

 

Atikah Che Ismail (Krew KLKM UPM); An’nor Israffael Anuar (Krew A Kuala Selangor); Nur Maizatul Alyna Harun (Krew A Kuala Selangor); Hue Jia Hao (Krew F Johor Bahru); Muhammad Aiman Ifwat Mohd Nor (Krew B Kuantan); Choy Jin Shen (Krew A Seputeh) dan Liow Weng Chong (Krew S Batu).

Date of Input: 05/09/2019 | Updated: 05/09/2019 | hairulnizam

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdCAF~