SISWA UPM KONGSI REZEKI BERSAMA ASNAF DAN ANAK YATIM | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » SISWA UPM KONGSI REZEKI BERSAMA ASNAF DAN ANAK YATIM

SISWA UPM KONGSI REZEKI BERSAMA ASNAF DAN ANAK YATIM

Oleh: Izzati Abdullah dan Edith

Putrajaya – Seramai 58 orang pelajar daripada Bakti Siswa Kumpulan 2 dan 3 Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program “Kongsi Rezeki, Menyemai Bakti” iaitu Sambutan Hari Raya dan gotong-royong bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) baru-baru ini.

Program yang diadakan buat julung kalinya dengan tema “Mahasiswa Berbakti, Komuniti Bestari” ini bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa untuk menyantuni dan berkongsi rezeki bersama golongan asnaf dan anak yatim.

Pengarah program, Anis Najiha Azlan Reeza bersama berkata, mahasiswa kini kurang sifat keprihatinan dalam diri membuatkan mereka mengambil inisiatif sebegini.

“Saya berharap agar program ini dapat memupuk rasa keprihatinan dalam diri pelajar dan komuniti dalam mendidik jiwa agar membawa kegembiraan kepada golongan asnaf dan anak yatim ini melalui aktiviti yang dijalankan.”

“Selain itu, dengan adanya program seperti ini diharap dapat membuka mata ramai pihak supaya terus berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang berkemampuan serta dapat memberi impak kepada komuniti untuk membantu golongan asnaf dan anak yatim dari semasa ke semasa.”

Menariknya, program “Kongsi Rezeki, Menyemai Bakti” yang diadakan selama dua hari ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

Penolong Kanan Kokurikulum SKPP 9(2), Puan Azemazuwana Binti Haji Zakaria

berkata, beliau amat berbesar hati kerana mahasiswa UPM telah memilih SKPP 9(2) untuk mengadakan projek komuniti dan berkongsi rezeki bersama murid-murid di sekolah tersebut.

“Sebagai wakil SKPP 9(2), saya berasa sangat gembira dan bangga kerana di antara ratusan sekolah di Putrajaya, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) ini menjadi sasaran pelajar UPM. Peluang seperti ini bukanlah mudah untuk diperoleh dan pihak kami amat bertuah kerana telah terpilih untuk mengikuti program komuniti ini.”

“Saya berharap agar murid tidak akan mensia-siakan peluang yang telah diberikan dan memanfaatkan sepenuhnya usaha ini untuk mencatat kejayaan yang terbilang kelak. Pendidikan adalah kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati.”

Turut diadakan pelbagai aktiviti dalam kumpulan, penyampaian cenderamata dan sumbangan sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) yang terlibat.

Diharapkan agar program ini dapat memberi kesan yang positif kepada mahasiswa dan komuniti dan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Date of Input: 27/06/2023 | Updated: 27/06/2023 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEdKAC~