SERDANG, 9 Jun - Program Batik Seni Warisan Negara mendapat sambutan yang hangat dengan kehadiran lebih dari 100 orang peserta terdiri daripada masyarakat setempat juga warga Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini adalah merupakan anjuran pelajar kursus QKH2103 Canting Batik dengan dibimbing oleh dua fasilitator yang berbakat iaitu En Mohd Isnain bin Ali dan Cik Dewe Murni binti Shukri.

Pengarah program, Asma' Maisarah binti Ahmad Saibudin berkata, bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang seni batik yang merupakan warisan budaya kebanggaan Masyarakat Melayu sekaligus bagi memastikan tradisi mencanting batik terus berkembang di masa hadapan.
"Bengkel Batik Seni Batik Warisan Negara merupakan salah satu inisiatif untuk menarik minat dalam kalangan generasi muda untuk mempelajari seni tradisional negara.Oleh itu, dengan menjemput kanak-kanak daripada kalangan umur 5 hingga 7 tahun ini dapat mendedahkan lagi ilmu baru tentang batik kepada mereka."
Terdapat juga pelbagai aktiviti yang menarik di dalam bengkel ini, termasuk pameran batik, jualan bermotifkan batik, mencanting serta mewarna batik. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk memberi pengalaman baru serta ilmu kepada peserta.
Fasilitator Batik Canting Kumpulan 2, En Mohd Isnain bin Ali berkata, pelbagai input dapat digarap oleh peserta, khususnya dalam menanam kembali seni warisan dalam diri anak-anak muda.
“Semangat ibu bapa yang membawa anak-anak mereka menghadiri program pada hari ini membuat saya tersentuh. Mana tidaknya sebahagian ibu bapa yang hadir, sanggup meluangkan waktu cuti mereka untuk membawa anak-anak mereka mempelajari seni warisan negara yang hampir dilupakan.”
“Bagi saya, program seperti ini menarik dan wajar diteruskan kerana disamping kita mempelajari batik, kita boleh juga menambahkan pengetahuan kepada pelajar tentang cara pengurusan program yang betul.”, tambahnya lagi.

Selain itu, turut berlangsung pelbagai aktiviti menarik seperti Pameran Kraf tangan yang
dianjurkan oleh para pelajar daripada kursus QKH2012 Kraf Tangan .
Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia, TS Dr. Rozzamri bin Ashari dan Fasilitator Khas kursus QKH2103 Batik Canting Universiti Putra Malaysia, En Mohd Shah Rizan bin Mohd Zain.
Date of Input: 31/07/2024 | Updated: 31/07/2024 | muhamadzulwaqa

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan