BENGKEL ASAS ALAT MUZIK WARISAN CAKLEMPONG 2023: Adat Dijulang, Seni Diperkasa | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » BENGKEL ASAS ALAT MUZIK WARISAN CAKLEMPONG 2023: "Adat Dijulang, Seni Diperkasa"

BENGKEL ASAS ALAT MUZIK WARISAN CAKLEMPONG 2023: "Adat Dijulang, Seni Diperkasa"

Oleh: Nor Azra Farisha Binti Mohd Azam


SERDANG, 16 November - Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali mengukuhkan komitmen terhadap warisan seni budaya dengan menganjurkan Bengkel Asas Alat Muzik Warisan Caklempong. Program ini diadakan di perkarangan Kompleks Akademik A, UPM yang merupakan hasil usaha gigih Kursus Kokurikulum Berkredit, Asas Muzik Caklempong (QKB2106) Kumpulan 1, Semester Pertama Sesi 2023/2024, menjanjikan pengalaman unik dalam memahami dan menghargai seni alat muzik tradisional Caklempong.


Pengarah Bengkel, saudari Nor Azra Farisha Binti Mohd Azam menyatakan kebanggaannya terhadap sambutan peserta yang melebihi jumlah yang dijangkakan dengan seramai 93 orang peserta yang turut serta dalam program ini. Program ini bukan hanya bertujuan untuk mengajar asas paluan Cak Lempong tetapi juga menonjolkan kebudayaan dan kesenian dalam kalangan pelajar UPM dan komuniti masyarakat sekeliling.


Selain dari bengkel asas paluan, peserta turut terlibat dalam aktiviti menarik seperti bengkel cara membuat gendang menggunakan dua bahan, membuat pemalu dan pertandingan menggilap bonang. Penglibatan pelajar dalam aktiviti ini membuktikan minat yang tinggi terhadap alat muzik tradisional Cak Lempong.


Encik Mohd Shah Rizan Bin Mohd Zain, fasilitator khas kokurikulum dan tetamu kehormat program turut memberi penekanan terhadap kejayaan Bengkel Asas Alat Musik Warisan Cak Lempong ini. Beliau menyatakan bahawa program ini tidak hanya memberi impak kepada pelajar tetapi juga memberi impak kepada komuniti secara keseluruhannya.


"Program ini dapat mengharumkan nama universiti ke peringkat lebih tinggi, selaras dengan universiti terkemuka yang lain dan melahirkan graduan yang berkeupayaan tinggi serta berdaya saing," kata Encik Mohd Shah Rizan Bin Mohd Zain semasa ucapan penutup.
Kesuksesan program ini menjadi satu langkah ke hadapan dalam mempromosikan seni tradisional sebagai warisan budaya yang patut dikekalkan dan dipelihara.

Date of Input: 04/03/2024 | Updated: 04/03/2024 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEdMAH~